Kementerian Komunikasi, MCMC akan teliti peluasan metrik CoPA, perluas kawasan ekonomi

Penggunaan 5G persendirian berpotensi diperluas kepada sektor perkilangan dan logistik

BUTTERWORTH, 17 Oktober – Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti kesesuaian memperluas ukuran atau metrik liputan rangkaian telekomunikasi, khususnya 5G bagi merangkumi kawasan aktiviti ekonomi penting seperti pelabuhan, laluan rel dan lebuh raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian dan MCMC akan meneliti semula metrik CoPA supaya mengambil kira keperluan kesalinghubungan kawasan tanpa penduduk yang penting bagi aktiviti ekonomi.
  • Cadangan untuk dibentangkan di forum antarabangsa seperti ITU bagi meluaskan skop liputan bukan hanya kawasan berpenduduk.
  • Pelancaran 5G persendirian di Pelabuhan Pulau Pinang menjadikan pelabuhan pertama guna rangkaian 5G persendirian.
  • 5G persendirian menawarkan saluran khusus, sambungan banyak peranti, sokongan operasi industri, dan potensi diperluas ke perkilangan serta sektor logistik.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ukuran liputan kawasan berpenduduk (CoPA) yang digunakan ketika ini perlu dikaji semula bagi mengambil kira keperluan kesalinghubungan di kawasan yang tidak mempunyai penduduk, tetapi memainkan peranan penting dalam kegiatan ekonomi.

“CoPA sering diguna pakai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dan badan-badan antarabangsa yang merujuk kepada kesalinghubungan pada kawasan berpenduduk, tetapi kita lihat, terutama apabila bercakap tentang capaian 5G, kawasan seperti pelabuhan tidak ada penduduk, namun ada aktiviti ekonomi penting.

“Kita juga akan mencadangkan dalam forum antarabangsa seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang akan bermesyuarat di Doha pada November ini, sama ada wajar, terutamanya teknologi 5G dan seterusnya, dikembangkan dan diluaskan bukan hanya sekadar CoPA, tetapi kawasan yang ada aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penang Port Private 5G di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini hari ini yang menyaksikan Pelabuhan Pulau Pinang menjadi pelabuhan pertama di negara ini yang menggunakan rangkaian 5G persendirian, hasil Altel Communications Sdn Bhd (Altel) dan Penang Port.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi V. Mano dan Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali turut hadir.

Datuk Seri Fahmi berkata kawasan berkenaan memerlukan kesalinghubungan yang baik bagi menyokong operasi industri, sekali gus memastikan kemudahan telekomunikasi tidak hanya tertumpu pada kawasan berpenduduk.

Beliau berkata penggunaan 5G persendirian juga berpotensi diperluas kepada sektor perkilangan dan logistik, khususnya bagi syarikat multinasional (MNC) yang mempunyai operasi di negara ini.

Rangkaian 5G, katanya, menawarkan kesalinghubungan kukuh, selain membolehkan lebih banyak peranti disambungkan secara serentak bagi menyokong pengendalian mesin dan peralatan yang memerlukan ketepatan tinggi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata pihaknya akan menyediakan nota Jemaah Menteri berhubung perkara itu dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperluas liputan telekomunikasi, termasuk melalui penggunaan teknologi 5G di pelabuhan-pelabuhan lain di negara ini.

“Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan MCMC turut membantu untuk menyelesaikan masalah Internet di laluan-laluan utama rel. Kita telah mengenal pasti sejumlah kawasan yang diuruskan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tidak mempunyai Internet di laluan-laluan rel itu.

“Jadi, berdasarkan kerjasama yang telah kita berikan dengan pihak MOT sebelum ini, saya percaya kita boleh kembangkan dan luaskan, termasuk memanfaatkan teknologi 5G, tidak kira siapa yang menyediakannya, tetapi untuk diguna pakai di pelabuhan-pelabuhan,” katanya.

Mengenai pelancaran 5G di Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Seri Fahmi berkata berbeza daripada rangkaian 5G biasa, rangkaian 5G persendirian menyediakan saluran komunikasi khusus bagi operasi kritikal industri tanpa perlu berkongsi kapasiti rangkaian dengan pihak lain.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu juga wajar diperluas kepada sektor swasta, termasuk syarikat perkilangan dan pengendali ladang kelapa sawit, bagi meningkatkan kecekapan operasi serta aspek keselamatan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.