
ALOR SETAR, 24 September -Lebih 1,000 usahawan terdiri daripada peniaga kecil, penjaja dan usahawan dari rumah dijangka menerima bantuan sehingga RM5,000 menerusi Geran Sejahtera MADANI pada Jumaat (esok).
- Penyerahan Geran Sejahtera MADANI disempurnakan Perdana Menteri di Kompleks Persekutuan Dewan Mu'adzam Shah, Anak Bukit.
- Permohonan geran mendapat sambutan sangat menggalakkan dan terbuka kepada golongan B40 berdaftar e-Kasih.
- Penerima mendapat mesin pengadun membantu lancarkan perniagaan kek, tingkatkan jualan dan harap buka kedai bakeri.
Majlis penyerahan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah itu dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Persekutuan Dewan Mu’adzam Shah, Anak Bukit disini.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Kedah, Mohd Nadzri Kamaruzaman berkata sambutan terhadap permohonan geran itu sangat menggalakkan sejak dibuka minggu lalu.
Katanya, bantuan itu terbuka kepada golongan B40 yang berdaftar dalam sistem e-Kasih atau menerima bantuan kerajaan, termasuk mereka yang ingin memulakan perniagaan.
“Ini merupakan satu inisiatif yang terus memberi manfaat kepada peniaga kecil, termasuk peniaga Melayu dan Cina.
“Saya menyokong usaha ini kerana bantuan seperti ini diberikan terus kepada golongan peniaga kecil yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang,penerima Geran Sejahtera MADANI, Siti Maifuzah Kamaruddin dari Pendang berkata mesin pengadun dan meja kerja yang diterimanya membantu melancarkan perniagaan kek serta pastri yang diusahakan dari rumah sejak 10 tahun lalu.
“Terima kasihlah kepada pihak yang beri bantuan ini. Dengan dapat mesin pengadun dan mixer ini, alhamdulillah, rezeki kami pun ada bertambah.
“Semoga dengan bantuan yang diberikan ini, kami dapat meningkatkan lagi hasil jualan dan, insya-Allah, dapat buka kedai bakeri kami sendiri.”