Perak kaji bank makanan gajah liar

Foto RTM

IPOH, 17 Oktober – Kerajaan Negeri Perak sedang mengkaji cadangan mewujudkan bank makanan hidupan liar bagi menangani konflik antara manusia dan gajah liar susulan gangguan haiwan itu di Bukit Bangkong, Chemor, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan termasuk mewujudkan zon penampan yang memberi sumber makanan kepada gajah liar bagi kurangkan risiko memasuki kebun penduduk.
  • Kajian dijalankan bersama Jabatan Perhutanan dan PERHILITAN untuk mengenal pasti lokasi sesuai.
  • Usaha mencabar kerana gajah sukar dikawal dan cenderung bergerak bebas mengikut tabiat semula jadi.
  • Kebun di Bukit Bangkong rosak selepas gangguan berulang, menjejaskan hasil dan menimbulkan kebimbangan pekebun.

Cadangan itu turut merangkumi pewujudan zon penampan yang menyediakan sumber makanan kepada gajah liar di lokasi bersesuaian bagi mengurangkan risiko haiwan berkenaan memasuki kawasan kebun penduduk.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, kajian sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai.

“Kerjasama perlu dilakukan bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk diwujudkan zon khas bagi mengekalkan habitat hidupan liar.

“Bagaimanapun, usaha itu mempunyai cabaran kerana haiwan berkenaan sukar dikawal dan cenderung bergerak bebas mengikut tabiat semula jadinya,”katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan Hari Ozon Sedunia 2026 Peringkat Negeri Perak di Ipoh.

Sebelum ini, media melaporkan 12 pekebun di Bukit Bangkong, Chemor mengalami kerugian selepas tanaman dan kemudahan bekalan air mereka dirosakkan gajah liar dalam tiga kejadian sejak bulan lalu.

Gangguan berulang dalam tempoh kira-kira dua minggu itu menjejaskan kawasan kebun seluas kira-kira 9.7 hektar, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekebun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.