
BANDA HILIR, 17 Oktober – Sarawak berpotensi menjadi antara pemain utama dalam memperkukuh bekalan koko tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import biji koko kering dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.
- Peluasan kawasan penanaman koko di Sarawak untuk melengkapkan pengeluaran Sabah dan kukuhkan bekalan koko tempatan.
- Pembangunan produk hiliran bernilai tambah, termasuk coklat single origin dengan identiti rasa dan aroma tersendiri.
- LKM membawa teknologi dan sokongan kepada petani serta usahawan bagi memanjangkan rantaian nilai melebihi jualan biji koko kering.
Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Shari Fuddin Sha’ari optimis usaha itu akan diperkasa menerusi peluasan kawasan penanaman koko serta pembangunan produk hiliran bernilai tambah tinggi, termasuk coklat yang mempunyai identiti dan cita rasa tersendiri.
“Peluasan tanaman koko di Sarawak mampu melengkapi pengeluaran Sabah yang kini merupakan negeri pengeluar utama koko negara,” jelasnya.
Menurutnya lagi, peningkatan pengeluaran bahan mentah tempatan perlu seiring dengan pembangunan aktiviti hiliran supaya petani bukan sahaja memperoleh pendapatan melalui penjualan biji koko kering, malah berpeluang menjana pendapatan lebih tinggi menerusi penghasilan produk coklat.
Malah, pendekatan ‘single origin’ yang menggunakan biji koko dari lokasi tertentu turut membuka peluang menghasilkan coklat dengan profil rasa dan aroma tersendiri.
“Jika dulu secara tradisi, kita keluarkan biji koko kering dan kita jual kepada peniaga, jadi rantaiannya terhenti di situ. Di LKM, kita melihat banyak potensi besar dengan mengeluarkan produk selain membawa teknologi tersebut kepada petani dan juga usahawan yang berminat.
“Terbukti, biji koko kering kita mempunyai cita rasa dan nilai tambah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Program A Malaysian Cocoa Affair 2026 dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di sini.