Belanjawan 2027 : Perbelanjaan pembangunan tingkat permintaan sektor utama

Pemodenan infrastruktur, pengembangan pengangkutan awam dan inisiatif peralihan hijau dijangka mengekalkan pelaburan awam dalam jangka pendek hingga sederhana

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Perbelanjaan pembangunan kerajaan sebanyak RM83 bilion yang dirancang di bawah Belanjawan 2027 dijangka merangsang aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan kecil serta meningkatkan permintaan dalam sektor utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan sektor: pengangkutan, pendidikan dan latihan, penjagaan kesihatan serta perdagangan dan industri.
  • Pemodenan infrastruktur, pengembangan pengangkutan awam dan inisiatif peralihan hijau mengekalkan pelaburan awam serta galakkan penyertaan swasta.
  • Projek utama seperti ECRL, E-ART dan KL NODE dijangka memperoleh manfaat daripada peruntukan pembangunan.
  • Pembangunan pusat data dan peluasan zon ekonomi khas JS-SEZ tingkatkan pembinaan, pelaburan serta permintaan tenaga kerja mahir.

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menyatakan peruntukan berkenaan sebelum ini diunjur meningkat daripada RM81 bilion pada 2026, dengan tumpuan kepada sektor pengangkutan, pendidikan dan latihan, penjagaan kesihatan serta perdagangan dan industri.

“Pemodenan infrastruktur, pengembangan pengangkutan awam dan inisiatif peralihan hijau dijangka dapat mengekalkan pelaburan awam dalam jangka pendek hingga sederhana, di samping menggalakkan penyertaan sektor swasta,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sistem Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART), KL NODE dan LRT3 Fasa 2, antara projek utama yang dijangka memperoleh manfaat.

Pembangunan berterusan pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan pula dijangka menyokong aktiviti pembinaan serta meningkatkan permintaan kepada perkhidmatan kejuruteraan khusus.

RHB IB berkata, peluasan zon ekonomi khas merupakan pemangkin pelaburan utama, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kerajaan dijangka memperkukuh lagi zon tersebut melalui pelancaran pelan induk dan pelan hala tuju yang komprehensif menjelang akhir tahun ini,”katanya.

JS-SEZ telah menarik pelaburan berjumlah RM132 bilion antara 2025 hingga Jun 2026, manakala cadangan pembangunan Sedenak Nexus dijangka menarik tambahan pelaburan RM12 bilion dan mewujudkan 45,000 pekerjaan.

RHB IB turut memberi penekanan kepada usaha untuk menambah baik rangka kerja insentif Hab Perkhidmatan Global Malaysia bagi menarik ibu pejabat serantau, pusat perbendaharaan, serta operasi perkhidmatan bersama.

Penambahbaikan itu bakal mendorong permintaan kepada golongan profesional mahir dan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi dalam bidang kewangan, perakaunan, teknologi dan pengurusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.