
BANDA HILIR, 17 Oktober – Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko Malaysia meningkat kepada RM18.33 bilion tahun lalu berbanding RM15.06 bilion pada 2024.
- Industri koko Malaysia berpotensi berkembang dalam coklat, bahan makanan dan produk hiliran bernilai tinggi.
- Industri pemprosesan kukuh namun sebahagian besar bekalan biji koko masih diimport dari luar negara.
- Kementerian akan memperkukuh industri seluruhnya dengan tumpuan meningkatkan pengeluaran tempatan, pendapatan pekebun, mengenal pasti sumber dan memenuhi pasaran antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata lonjakan itu menunjukkan industri koko negara mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang khususnya dalam penghasilan coklat, bahan makanan dan pelbagai produk hiliran yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai industri pemprosesan koko yang kukuh namun sebahagian besar bekalan biji koko untuk industri ini masih diimport dari luar negara.
“Untuk itu, kementerian bakal memperkukuh keseluruhan industri koko, bermula daripada pekebun yang menanam koko hinggalah kepada usahawan yang menghasilkan produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Usaha itu dijalankan melalui tiga keutamaan utama yang diberikan perhatian seperti meningkatkan pengeluaran koko tempatan dan pendapatan pekebun kecil, memastikan sumber koko dapat dikenal pasti serta memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
Selain menghasilkan lebih banyak produk koko tempatan yang mempunyai nilai tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program A Malaysian Cocoa Affair 2026 di sini.
Sebanyak 24 reruai pameran dan jualan disediakan dalam program berkenaan dengan pelbagai produk menarik untuk diterokai.