
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 menunjukkan ekonomi Malaysia masih berada pada landasan pertumbuhan positif dan berdaya tahan.
- Ekonomi Malaysia kekal pada landasan pertumbuhan positif dan berdaya tahan, disokong permintaan domestik terutama perbelanjaan isi rumah dan pelaburan.
- Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama, disokong perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi, serta kewangan dan insurans.
- Pembuatan berorientasikan eksport, terutamanya elektrik dan elektronik, berpotensi mendapat manfaat daripada permintaan global untuk semikonduktor dan teknologi digital.
- Ketidaktentuan geopolitik, turun naik harga minyak, kelembapan rakan dagang dan peningkatan kos sara hidup kekal sebagai risiko penting.
Pengarah Program MBA PBS, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, meskipun pertumbuhan itu sedikit sederhana berbanding suku sebelumnya, kadar yang kekal melebihi 5 peratus masih mencerminkan perkembangan aktiviti ekonomi yang baik.
Menurutnya, keyakinan itu disokong permintaan domestik, khususnya perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan yang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya melihat sektor pembuatan dan eksport, terutamanya elektrik dan elektronik (E&E), berpotensi mendapat manfaat daripada permintaan global terhadap semikonduktor, kecerdasan buatan dan teknologi digital.
“Selain itu, pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti pusat data dan infrastruktur digital turut membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi yang positif dalam jangka masa panjang,” katanya kepada RTM.
Bagaimanapun, menurut beliau, ketidaktentuan geopolitik, turun naik harga minyak, kelembapan ekonomi rakan dagang utama serta peningkatan kos sara hidup masih boleh mempengaruhi prestasi ekonomi negara pada tahun ini.
Sementara itu, katanya prestasi pertumbuhan ekonomi bagi sembilan bulan pertama tahun ini juga turut menunjukkan Malaysia berada pada landasan positif untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara 4.8 hingga 5.3 peratus bagi keseluruhan 2026.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), anggaran awalan menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 berbanding 6.0 peratus pada suku sebelumnya, disokong pertumbuhan sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.
Secara kumulatif, ekonomi negara dianggarkan berkembang 5.5 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding 4.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama ekonomi pada suku ketiga 2026, disokong aktiviti perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta kewangan dan insurans.
Sektor pembuatan pula disokong industri berorientasikan eksport, khususnya produk elektrik dan elektronik, manakala aktiviti pembinaan dipacu projek pusat data serta bangunan bukan kediaman.