
KUALA LUMPUR , 17 Oktober -Kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan dijangka membantu meringankan beban kos sara hidup serta meningkatkan kuasa beli golongan pekerja, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
- Membantu menampung perbelanjaan harian seperti makanan, pengangkutan dan pendidikan anak.
- Memperbaiki akses kepada makanan lebih baik, kesihatan dan caruman simpanan masa depan.
- Isyarat politik bahawa kerajaan menghargai kebajikan serta maruah pekerja, bukan hanya kos operasi.
- Memudahkan perancangan perbelanjaan pekerja; kerajaan perlu menilai secara berterusan untuk menjamin kebajikan.
Rasydan Mohd Hassan dan Aiman Amin berpandangan, kenaikan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun itu dapat membantu pekerja menampung perbelanjaan keperluan harian, termasuk makanan, pengangkutan dan pendidikan anak-anak.
Rasydan menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 itu sebagai perkembangan positif dalam usaha meningkatkan kesejahteraan pekerja dan mengelakkan mereka terus terperangkap dalam kemiskinan.
”Jadi mungkin pendapatan asas ini yang ditingkatkan tadi itu secara langsung dapat meningkatkan akses pekerja-pekerja ini kepada instrumen ataupun infrastruktur lain seperti akses kepada makanan yang lebih baik, kesihatan ataupun caruman simpanan masa hadapan yang lebih kukuh.
”Secara tidak langsung ini sedikit sebanyak akan membantu rakyat Malaysia untuk mendepani cabaran ekonomi pada hari ini.
”Bagi saya ia satu isyarat politik yang jelas bahawa kerajaan Perpaduan pada hari ini ingin menstrukturkan ekonomi Malaysia agar pekerja itu bukan sahaja dinilai sebagai satu kos operasi, tetapi kebajikan ataupun maruah pekerja itu diletakkan di tempat yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita.
Bagi Aiman Amin, pengumuman kenaikan gaji itu akan membantu dari sudut perancangan perbelanjaan yang dapat diuruskan dengan lebih teratur dan selesa.
”Saya melihat perkara ini akan memberi impak yang positif kepada pekerja, khususnya kalau kita lihat pada ekonomi semasa untuk rumah harganya semakin meningkat.
”Setidaknya dapat meringankan perbelanjaan kos sara hidup seharian.
”Bagaimanapun, kerajaan perlu meneliti dari masa ke semasa bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan pekerja sepanjang masa,”katanya ketika diminta mengulas kenaikan gaji minimum itu.