Sepasang kembar antara penerima Anugerah Graduan Terbaik, Konvokesyen UiTM ke 105

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 17 Oktober – Sepasang kembar menjadi antara 15 penerima Anugerah Graduan Terbaik sempena Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 105 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Canselor UiTM.

RINGKASAN BERITA AI
  • Puteri Sofea Nabeela terima Anugerah Graduan Masyarakat; Puteri Sofea Nabeeha dianugerahi Anugerah Pelajaran Diraja.
  • Kedua-duanya graduan Sarjana Muda Statistik Fakulti Sains Komputer dan Matematik, aktif berprestasi akademik dan kokurikulum.
  • Aktif mengendalikan program kemasyarakatan, CSR dan kesukarelawanan memberi impak besar kepada komuniti.
  • Rahsia kejayaan: seimbang akademik dan kokurikulum, berbincang tugasan, maklum pensyarah dan gantikan kelas jika perlu.

Puteri Sofea Nabeela Haris menerima Anugerah Graduan Masyarakat, manakala adik kembarnya, Puteri Sofea Nabeeha Haris cemerlang dengan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang).

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT, ibu bapa serta keluarga yang banyak memberikan sokongan, termasuk adik-beradik kembar saya yang sentiasa melakukan segala-galanya bersama-sama.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan dan seluruh warga pelajar UiTM. Saya amat bersyukur menerima anugerah ini,” kata Puteri Sofea Nabeela Haris

“Pertama sekali, saya bersyukur kepada Allah SWT. Kejayaan ini juga berkat doa ibu bapa, sokongan rakan-rakan, keluarga dan pensyarah kami, serta sudah tentu adik-beradik kembar saya kerana sepanjang pengajian, kami melakukan segala-galanya bersama-sama.

Kami berdua sangat gembira dan bersyukur, dan berharap kejayaan ini menjadi bukti bahawa alumni UiTM mampu mengharumkan nama fakulti,” kata Puteri Sofea Nabeeha Haris

Pasangan kembar tidak seiras ini merupakan graduan Sarjana Muda Statistik dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut Puteri Sofea Nabeela,kedua-duanya aktif menyertai serta mengendalikan program berunsur kemasyarakatan dan kesukarelawanan di dalam dan di luar kampus sepanjang tempoh bergelar mahasiswa.

“Kami aktif dalam kelab di peringkat fakulti dan universiti. Penglibatan kami bukan sahaja tertumpu di fakulti, malah merangkumi keseluruhan UiTM, termasuk menyertai pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kesukarelawanan serta menganjurkan program yang memberi impak besar kepada komuniti,” katanya.

Berkongsi rahsia kecemerlangan, Puteri Sofea Nabeeha pula berkata, mereka sentiasa memastikan keseimbangan pencapaian dalam akademi dan kokurikulum.

“Kami selalu berbincang bersama untuk menyiapkan tugasan dan membuat persediaan menghadapi ujian. Jika ada program yang bertembung dengan waktu kuliah, kami akan memohon kebenaran pensyarah untuk menggantikan kelas tersebut.

“Jika tidak dapat menghadiri kelas, kami akan memaklumkan kepada pensyarah dan menggantikannya dengan kelas lain supaya tidak tertinggal topik penting, khususnya bagi subjek teras yang mempunyai jumlah kredit tinggi. Walaupun aktif dalam kokurikulum, akademik tetap perlu dijaga kerana itu tanggungjawab kami sebagai pelajar,” kata Puteri Sofea Nabeeha.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen tersebut dan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Roziah Mohd Janor yang merupakan bekas Naib Canselor wanita pertama UiTM serta mengurniakan Anugerah Graduan Terbaik UiTM 2026 kepada 15 graduan terbaik universiti itu.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM.

Istiadat konvokesyen itu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyaksikan sebanyak 32,630 graduan akan menerima diploma serta ijazah dalam pelbagai bidang bermula hari ini hingga 16 Disember ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.