Skim Pengembara dibawa ke Parlimen

Foto RTM

ALOR GAJAH, 17 Oktober – Skim Pengembara yang melibatkan kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari akan dibawa ke Parlimen bagi memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi dialog bersama PERKESO, lebih 800 NGO dan warga Malaysia bekerja di Singapura akan diadakan di Johor Bahru.
  • Skim Pengembara dikhususkan untuk rakyat Malaysia bekerja di luar negara yang berulang-alik setiap hari.
  • Penyertaan tidak diwajibkan; caruman bergantung kepada pilihan individu yang layak.
  • Program LINDUNG Kasih di Melaka mendaftar 400 suri rumah sebagai pencarum PERKESO memberi perlindungan jika musibah.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, satu sesi dialog bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), lebih 800 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan diadakan di Johor Bahru esok.

“Skim Pengembara ini dikhususkan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan berulang-alik setiap hari. Mereka yang memenuhi syarat layak menyertai skim ini, namun caruman tidak diwajibkan dan terpulang kepada pilihan masing-masing,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program I Lindung U Gegar @ Melaka di Dataran Keris, Alor Gajah.

Menurut beliau, sesi itu turut disertai Duta Besar Malaysia ke Singapura bagi membincangkan pelaksanaan skim berkenaan, khususnya untuk golongan yang bekerja di negara jiran tetapi berulang-alik ke Malaysia.

Beliau menjelaskan, penyertaan dalam Skim Pengembara itu tidak diwajibkan, sebaliknya terpulang kepada pilihan individu yang layak.

Program yang julung kali diadakan di Melaka itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PERKESO untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Pada program sama, seramai 400 suri rumah di Melaka didaftarkan sebagai pencarum di bawah skim LINDUNG Kasih, sekali gus melayakkan mereka mendapat perlindungan PERKESO sekiranya ditimpa musibah yang tidak dijangka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.