
ALOR GAJAH, 17 Oktober – Seramai 1.2 juta pekerja yang belum mencarum di bawah skim LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) digesa mendapatkan perlindungan itu susulan inisiatif pelepasan cukai tambahan RM150 setahun.
- Digesa mendaftar skim LINDUNG 24 Jam bagi mendapatkan perlindungan keselamatan sosial termasuk kemalangan luar waktu bekerja.
- Jangan tunggu sehingga ditimpa kemalangan; daftar awal dapat mengurangkan beban kewangan keluarga.
- Kos rawatan meningkat, bagi kes tertentu boleh mencecah sehingga RM1 juta, menjadikan perlindungan lebih penting.
- Rekod menunjukkan 10,424 tuntutan Jun hingga September, menandakan skim ini memberi manfaat nyata.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, insentif berkenaan memberi peluang kepada golongan pekerja untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial, khususnya sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
“Jadi, saya ingin mengingatkan 1.2 juta pekerja yang belum mencarum supaya tidak menunggu sehingga ditimpa kemalangan barulah mencari perlindungan. Kos perubatan kini semakin tinggi, daripada puluhan ribu ringgit sebelum ini, meningkat kepada ratusan ribu ringgit dan bagi kes tertentu, boleh mencecah sehingga RM1 juta.
“Persoalannya, bagaimana kita hendak menanggung kos rawatan tersebut sekiranya berlaku kemalangan? Kita tidak mengharapkan perkara itu berlaku, tetapi kemalangan boleh terjadi pada bila-bila masa tanpa diduga,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program I Lindung U Gegar @ Melaka di Dataran Keris, Alor Gajah.
Beliau mengingatkan pekerja supaya tidak menunggu sehingga ditimpa kemalangan untuk mendapatkan perlindungan, memandangkan kos rawatan perubatan kini semakin meningkat dan boleh mencecah ratusan ribu ringgit, malah sehingga RM1 juta bagi kes tertentu.
Menurutnya, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga, justeru perlindungan awal penting bagi membantu mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Dalam pada itu, kepentingan perlindungan berkenaan turut digambarkan menerusi rekod sebanyak 10,424 tuntutan di bawah skim LINDUNG 24 Jam bagi tempoh 1 Jun hingga 30 September lalu.