
PORT DICKSON, 17 Oktober – Kadar elaun anggota angkatan sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang disemak semula bagi menggalakkan lebih ramai anggota pasukan simpanan berkenaan aktif menyertai latihan dan aktiviti dianjurkan.
- Panglima ATM menyatakan elaun sedia ada dianggap agak rendah dan tidak lagi bersesuaian dengan keadaan semasa.
- Kadar elaun terakhir disemak sekitar 2022 dan kini ditetapkan pada RM9.80 serta RM8.00 sejam mengikut kategori.
- Penglibatan anggota meningkatkan minat, komitmen dan memudahkan penapisan untuk penyertaan atau penyerapkan ke angkatan tetap.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, semakan itu mengambil kira kadar elaun sedia ada yang disifatkan agak rendah dan tidak lagi bersesuaian dengan keadaan semasa.
Selain itu, keputusan berkenaan juga antara langkah yang boleh meningkatkan minat serta komitmen anggota terhadap pasukan berkenaan.
Tambahnya, kadar elaun berkenaan yang kali terakhir disemak sekitar 2022, kini ditetapkan pada RM9.80 dan RM8.00 sejam mengikut kategori anggota.
“Bagi Askar Wataniah, kita sedang meneliti semula kadar elaun yang diberikan kepada anggota, khususnya bagi kehadiran latihan dan sebagainya, memandangkan kadar tersebut sudah lama tidak dikaji semula.
“Pengiraan elaun berdasarkan jam yang ditetapkan pada masa ini agak rendah dan perlu dinilai semula agar bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 206/2026 di sini pada Sabtu, yang melibatkan seramai 1,485 perajurit.
Sementara itu, Jeneral Tan Sri Malek Razak menambah, penglibatan mereka memberi mereka kelebihan sekiranya mahu menyertai atau diserapkan ke angkatan tetap kerana lebih memudahkan tapisannya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pertambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan tahap kesiagaan ATM terus diperkukuh.
Jeneral Tan Sri Malek Razak berkata, peruntukan tersebut merangkumi aspek pengurusan dan pembangunan bagi memastikan ATM sentiasa bersedia menghadapi cabaran keselamatan serta
mempertahankan kedaulatan negara selain memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
“Ini adalah satu komitmen kerajaan bagi menentukan bahawa kesiapsiagaan ATM itu sentiasa bersedia di tahap yang diperlukan bagi mengekalkan kedaulatan, keselamatan, keyakinan rakyat dalam kita bertugas menjaga keselamatan negara,” katanya.
Terdahulu menerusi Belanjawan 2027, kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM22 bilion bagi mengukuhkan keupayaan pertahanan negara, peningkatan kesiapsiagaan aset serta pemerkasaan kebajikan anggota dan Veteran ATM.