APM tambah keperluan anggota hadapi MTL

Foto Fail BERNAMA

KLUANG, 17 Oktober – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menambah bilangan anggota yang berperanan sebagai pasukan bantuan, sekiranya diperlukan ketika musim
Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh kesiapsiagaan melalui peningkatan kompetensi anggota, penyelenggaraan, penambahan aset dan logistik menghadapi MTL.
  • Operasi Pusat Kawalan Operasi 24 jam bagi memastikan penyelarasan tindakan kecemasan dan bantuan bencana segera.
  • Kerjasama zon Selatan, Timur, Tengah dan Utara serta latihan bersama meningkatkan kesediaan dan keberkesanan tindak balas bencana.
  • Elaun sukarelawan dinaikkan, memberi galakan kepada petugas; kelulusan pembelian 17 bot amfibi mempercepat operasi menyelamat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman berkata, tambahan itu bagi membantu 12,927 anggota sedia ada, ketika musim berkenaan.

“Kita akan menggerakkan pasukan bantuan bagi tujuan tersebut. Dari segi pembahagian zon, iaitu Zon Selatan, Zon Timur, Zon Tengah dan Zon Utara, setiap zon mempunyai kerjasama strategik antara satu sama lain.

“Kebanyakan zon turut mengadakan latihan bersama bagi memastikan semua anggota lebih bersedia dan dapat bekerjasama dengan lebih berkesan sekiranya berlaku sebarang bencana,” katanya selepas majlis perasmian penutupan Program Jalinan Strategik APM Bersama Media Zon Selatan 2026 di PULAPAS, Kluang, Johor.

Tambah Ghazali, ketika ini, APM telah memperkukuh tahap kesiapsiagaan melalui peningkatan kompetensi anggota, penyelenggaraan, penambahan aset dan logistik dalam menghadapi MTL.

Perkara itu dilaksanakan menerusi pengoperasian Pusat Kawalan Operasi (PKO) selama 24 jam bagi memastikan penyelarasan tindakan kecemasan dan bantuan bencana dapat dilaksanakan dengan segera.

Langkah tersebut turut disokong dengan pemantapan sistem komunikasi serta koordinasi bersama agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada pelbagai peringkat bagi menghadapi risiko banjir, kepala air dan tanah runtuh.

Terdahulu, APM turut menyambut baik pengumuman kenaikan elaun sukarelawan APM menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Kenaikan itu membabitkan elaun anggota daripada RM8 kepada RM9, manakala elaun pegawai meningkat daripada RM9.80 kepada RM10.80.

“Walaupun kenaikannya nampak kecil namun, ia akan memberi semangat dan galakan kepada para petugas untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya.

APM turut memperoleh kelulusan bagi pembelian 17 unit bot ‘amfibiacraft’ (dua alam) bagi mempercepat dan meningkatkan kadar operasi menyelamat khususnya dikawasan terjejas akibat bencana.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.