
JOHOR BAHRU, 17 Oktober – Penutupan sekolah serta institusi pendidikan di Johor dilanjutkan selama lima hari lagi bermula Isnin (19 Oktober), susulan keadaan jerebu dan kualiti udara yang masih membimbangkan.
- Keputusan berdasarkan bacaan IPU, ramalan cuaca dan penilaian kesihatan semasa.
- Sepanjang Oktober direkodkan 30,648 kes asma dan URTI; peningkatan mingguan 20.7 peratus.
- Pengecualian terhad dipertimbangkan untuk murid menduduki peperiksaan, tertakluk penyelarasan JPNJ dan SOP kesihatan.
- Pelitup muka diwajibkan; PdPR diteruskan. IPS dan pusat jagaan tentukan operasi ikut garis panduan.
Exco Pendidikan dan Penerangan, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, keputusan itu turut mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), ramalan cuaca serta penilaian kesihatan semasa.
“Sepanjang Oktober ini, sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan, dengan peningkatan mingguan sebanyak 20.7 peratus,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun, pengecualian terhad boleh dipertimbangkan bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan atau pentaksiran tertentu, tertakluk kepada penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan.
Pada masa sama, pemakaian pelitup muka turut diwajibkan bagi murid yang terlibat, manakala Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sepanjang tempoh penutupan.
Sementara itu, keputusan untuk meneruskan operasi atau menutup Institusi Pendidikan Swasta (IPS) dan pusat penjagaan kanak-kanak tertakluk kepada pertimbangan institusi masing-masing dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.