10 warga Filipina termasuk empat kanak-kanak ditahan di Labuan

Warga asing yang ditahan dalam operasi di Labuan baru-baru ini

LABUAN, 25 September – Seramai 10 warga Filipina termasuk empat kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan dalam operasi penguatkuasaan di empat lokasi sekitar Labuan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan disyaki di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
  • Op Mahir dan Op Kutip dijalankan susulan risikan; premis limbungan kapal, tapak pembinaan dan dua penempatan diperiksa.
  • Seramai 54 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan diperiksa semasa operasi.
  • Tahanan ditempatkan di IPD dan Depot Imigresen untuk siasatan; dua notis saman dikeluarkan.

Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata, kesemua mereka terdiri daripada empat lelaki, dua wanita dan empat kanak-kanak.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, operasi Op Mahir dan Op Kutip dijalankan susulan risikan serta maklumat yang diterima pihaknya.

“Pasukan penguat kuasa memeriksa sebuah premis limbungan kapal, tapak pembinaan serta dua penempatan warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Warga asing yang ditahan dalam operasi di Labuan baru-baru ini

Menurutnya, seramai 54 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan diperiksa dalam operasi berkenaan.

Katanya, kesemua tahanan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Dua notis saman turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan jabatan,” katanya.

JIM Labuan menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.