
PUTRAJAYA, 25 September- Kebakaran di Menara Seri Wilayah di sini pagi tadi hanya membabitkan bahagian dapur sebuah kafe dan tidak menjejaskan struktur utama bangunan itu.
- Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden kebakaran.
- Penyelenggaraan memadam kebakaran dengan hos gelung; sistem sprinkler berfungsi. Anggota bomba tiba pada 8.04 pagi dan jalankan pemeriksaan.
- Kerja pengudaraan guna kipas ekzos dan kipas mudah alih; operasi 14 anggota BBP Presint 7 dikawal 8.16 pagi, tamat 10.15 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Muhamad Haziq Hazmi berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
Beliau berkata pihaknya tiba di lokasi pada 8.04 pagi dan mendapati kebakaran telah dipadamkan pihak penyelenggaraan bangunan menggunakan satu aliran gelung hos, manakala sistem sprinkler turut berfungsi dengan baik.
“Anggota bomba bersama pihak penyelenggaraan kemudian menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca haba atau kebakaran yang masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Haziq berkata kerja-kerja pengudaraan turut dilaksanakan dengan mengaktifkan kipas ekzos sedia ada serta menggunakan kipas ekzos mudah alih bagi mengeluarkan asap dan haba dari kawasan terlibat.
Beliau berkata operasi itu melibatkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 dan diisytiharkan terkawal pada 8.16 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 10.15 pagi.
Terdahulu, video memaparkan kepulan asap serta kehadiran anggota bomba di Menara Seri Wilayah tular di media sosial.