
NEW YORK, 23 September – Malaysia menggesa kerjasama masyarakat antarabangsa dalam usaha menangani konflik di Myanmar, termasuk isu kewarganegaraan.
- Malaysia menggesa kerjasama antarabangsa menangani konflik Myanmar termasuk isu kewarganegaraan.
- Seruan berkongsi tanggungjawab membantu negara tuan rumah yang menampung pelarian Myanmar.
- Malaysia prihatin terhadap krisis kemanusiaan berpanjangan dan impaknya terhadap pelarian.
- Sokongan Malaysia terhadap kes Gambia di ICJ dan galakan sumbangan Dana OIC untuk pelarian Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyeru semua pihak berkongsi tanggungjawab membantu negara-negara yang menjadi tuan rumah kepada pelarian Myanmar.
Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia kekal prihatin terhadap krisis kemanusiaan dan konflik berpanjangan di Myanmar yang terus memberi kesan kepada pelarian negara itu.
“Penyelesaian jangka panjang perlu bagi memastikan pelarian Rohingya dapat kembali ke negeri Rakhine secara selamat, sukarela dan bermaruah.
“Malaysia turut menyokong kes yang dibawa Gambia terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan mengalu-alukan keputusan prosiding pendengaran merit pada Januari 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini
Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan bahawa, Malaysia aktif menyumbang kepada Dana OIC untuk pelarian Myanmar dan amat menggalakkan negara anggota OIC lain supaya turut menyumbang dengan murah hati.