
RANTAU PANJANG, 21 Oktober – Polis Kelantan memperhebat usaha membanteras kegiatan dadah di negeri berkenaan termasuk menggerakkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
- Penambahan anggota untuk memastikan jumlah tangkapan berkaitan dadah mencapai sasaran ditetapkan.
- IPK akan membantu balai yang mencatat tangkapan rendah kerana kekangan termasuk kekurangan anggota.
- Operasi dan tindakan dijalankan berdasarkan risikan serta maklumat diterima.
- Kerjasama bersepadu IPK dan IPD: IPK fokus sindiket serta pembekal utama; IPD tumpu penagih dan pengedar kecil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penambahan anggota tersebut sekali gus memastikan jumlah tangkapan berkaitan kes dadah mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Mana-mana balai yang tidak mencapai sasaran atau mencatatkan jumlah tangkapan yang rendah, IPK akan turun membantu kerana mungkin terdapat kekangan lain di balai berkenaan, termasuk kekurangan anggota.
“Kita akan membuat penilaian setiap minggu dan mengenal pasti balai yang mencatatkan jumlah tangkapan rendah. JSJN IPK akan digerakkan ke daerah dan balai berkenaan bagi membantu meningkatkan tangkapan serta membanteras kegiatan dadah di kawasan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, sebarang tindakan dan operasi akan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima.
Datuk Mohd Yusoff berkata, usaha membanteras kegiatan dadah dipergiat secara bersepadu antara IPK dan IPD.
“IPK akan menumpukan penugasan mengenal pasti pembekal dadah utama dan sindiket.
“Manakala, IPD memberi perhatian menangani kes penagih dadah dan pengedar dadah berskala kecil,” katanya.
Penugasan berfokus itu katanya dapat memastikan masalah dadah di negeri berkenaan ditangani di setiap peringkat.