
LANGKAWI, 25 Oktober – Langkawi menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong berkualiti dari China menerusi pengukuhan sektor pelancongan perniagaan dan pendidikan berasaskan pengalaman.
- Program Langkawi Business Event Fam Trip 2026 membawa 30 agensi pelancongan China ke pulau peranginan.
- Menjadi platform membina rangkaian perniagaan antara pengendali pelancongan China dan pemain industri tempatan.
- MITA merancang kem pendidikan untuk pelajar dan program pengalaman untuk warga emas, dicadangkan bermula 2027.
- Inisiatif diharap menjana pulangan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Langkawi di pasaran antarabangsa.
Usaha itu dilaksanakan menerusi program Langkawi Business Event Fam Trip 2026, yang membawa 30 agensi pelancongan dari China ke pulau peranginan berkenaan, bermula 23 hingga 26 Oktober ini.
Menurut Pengerusi Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Mint Leong, program itu bukan sekadar lawatan pengenalan destinasi, sebaliknya menjadi platform untuk membina rangkaian perniagaan antara pengendali pelancongan China dengan pemain industri tempatan.
Menurut beliau, pendekatan itu diharap dapat mewujudkan peluang kerjasama baharu, sekali gus memperluas pemasaran produk pelancongan tempatan ke pasaran China.
Tambahnya, MITA turut merancang pembangunan produk kem pendidikan khusus untuk pelajar, selain program berasaskan pengalaman untuk golongan warga emas dari China dan dicadangkan untuk dilaksanakan seawal tahun 2027.
“Untuk Langkawi, sekiranya kem pendidikan itu dapat dimulakan pada 2027, ia dijangka menjana pulangan kira-kira satu juta Renminbi (RMB) kepada Langkawi bagi setiap kem selama tujuh hari enam malam.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya RM1 juta hingga RM2 juta dapat disalurkan ke Langkawi menerusi inisiatif berkenaan pada masa hadapan”, katanya pada sesi B2B sempena Langkawi Business Event Fam Trip 2026, di sini.
Inisiatif itu diharap menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan tempatan dan memperkukuh kedudukan Langkawi di pasaran antarabangsa.