
HANGZHOU, 24 September – Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bukan sekadar memperkukuh hubungan dua hala, malah membuka ruang baharu untuk Malaysia memperluas pelaburan, pasaran eksport serta kerjasama dalam bidang strategik dan bernilai tinggi.
- Potensi pelaburan melebihi RM28 bilion daripada 26 syarikat China, termasuk lima gergasi, menunjukkan keyakinan terhadap kestabilan dasar Malaysia.
- China bersetuju menyambung jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, membuka peluang hubungan rel terus dengan Thailand dan pembangunan wilayah.
- Kerjasama meluas ke sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, AI, robotik kenderaan elektrik dan bioteknologi, disokong oleh penekanan pada TVET.
Lawatan ke Shanghai dan Hangzhou itu memperlihatkan perkembangan landskap kerjasama ekonomi Malaysia-China yang kini semakin meluas daripada sektor tradisional kepada industri berimpak tinggi, termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik kenderaan elektrik dan bioteknologi.
Perdana Menteri berkata hubungan Malaysia-China turut diterjemahkan kepada agenda yang lebih luas meliputi kesalinghubungan, perlindungan perusahaan tempatan, ekonomi digital serta pembangunan bakat.
Antara hasil utama lawatan itu ialah potensi pelaburan melebihi RM28 bilion hasil pertemuan dengan 26 syarikat China, termasuk lima syarikat gergasi republik berkenaan.
Datuk Seri Anwar berkata syarikat-syarikat berkenaan menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan berdasarkan keyakinan terhadap kestabilan serta dasar yang dilaksanakan Malaysia.
“Rata-rata syarikat menyatakan komitmen mereka untuk meningkatkan pelaburan atas dasar keyakinan terhadap kestabilan dan dasar yang sedang kita laksanakan.
“Secara keseluruhannya, pertemuan perniagaan ini berjaya merekodkan potensi pelaburan bernilai melebihi RM28 bilion. Ini merangkumi pelbagai sektor berimpak tinggi,” katanya.
Dalam mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri China, Li Qiang, agenda kesalinghubungan turut menjadi antara perkara yang diberikan perhatian.
China bersetuju dengan cadangan menyambung jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan, yang berpotensi
membuka hubungan rel terus dengan Thailand.
Menurut Datuk Seri Anwar, perkara itu turut dibincangkan bersama Perdana Menteri Thailand.
“Perkara ini juga telah saya bincangkan dengan Perdana Menteri Thailand. Inisiatif ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan bagi kawasan yang sebelum ini terpinggir daripada arus pembangunan perdana.
“Perbincangan lanjut bersama semua pihak berkepentingan akan dibuat susulan mesyuarat Jemaah Menteri kelak,” katanya.
Sebagai undangan khas di WorldSkills Shanghai 2026, Perdana Menteri diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada Sesi Pleno Pembukaan persidangan
berkenaan, yang mengetengahkan kepentingan kemahiran dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dalam mendukung pembangunan industri.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar menegaskan TVET sebagai teras dasar perindustrian negara dan instrumen transformasi ekonomi, khususnya dalam
memastikan pembangunan bakat seiring dengan kemasukan pelaburan.
“Malaysia dan China mempunyai kedudukan yang baik untuk melakukan lebih banyak perkara bersama.
“Pelaburan tiba di Malaysia atas pelbagai sebab. Tetapi kita semua tahu ia berkembang terutamanya apabila terdapat kemahiran yang mencukupi untuk menyokongnya,” katanya.
Di Hangzhou, ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pembukaan Pameran Perdagangan Digital Global (GDTE) Ke-5, Perdana Menteri menegaskan
pendirian Malaysia untuk tidak memilih mana-mana pihak antara kuasa besar.
Sebaliknya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua pihak berdasarkan kepentingan bersama, khususnya dalam perkara yang berkait rapat dengan
kepentingan ekonomi dan keselamatan negara.
“Kita mahu bebas untuk bekerjasama dengan semua pihak apabila kepentingan kita selari, dan membuat pertimbangan sendiri apabila kepentingan itu tidak selari,” katanya.
Beliau turut menegaskan hubungan Malaysia-China bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, sebaliknya dibina atas kepercayaan dan keyakinan.
“Kita mahukan kebebasan untuk bekerjasama, dan membuat pertimbangan sendiri apabila kepentingan kita berbeza,” katanya.
Menurut beliau, hubungan itu turut merangkumi usaha mencapai kemakmuran bersama, merapatkan jurang digital serta membantu negara-negara di Selatan Global.
Sepanjang perjalanan dari Shanghai ke Hangzhou menaiki kereta api berkelajuan tinggi, Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra
dengan petugas media Malaysia yang membuat liputan lawatan berkenaan.
Beliau juga berkesempatan melancarkan edisi bahasa Mandarin bukunya, Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times, di Hangzhou.
Secara keseluruhannya, lawatan kerja tiga hari itu memperlihatkan hubungan Malaysia-China terus berkembang daripada perdagangan dan pelaburan kepada teknologi, ekonomi digital, infrastruktur serta pembangunan bakat.
Lebih penting, ruang dan peluang yang terbuka menerusi lawatan itu kini diterjemahkan kepada potensi manfaat yang lebih nyata kepada ekonomi dan
rakyat, selari dengan usaha Malaysia memperkukuh kedudukan dalam rantaian ekonomi dan teknologi global.##