Pusat rawatan estetik haram dikendali warga asing jana RM50,000 sebulan diserbu

Antara warga Indonesia yang ditahan dalam operasi khas JIM pada Rabu lalu di beberapa kawasan di Lembah Klang/ Foto JIM

PUTRAJAYA, 25 September- Kegiatan pusat rawatan kecantikan dan estetik haram yang dipercayai dikendalikan warga asing hingga mampu menjana keuntungan sehingga RM50,000 sebulan terbongkar susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Selangor dan Kuala Lumpur pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh warga Indonesia ditahan, seorang lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun.
  • Operasi di empat premis sekitar Lembah Klang termasuk Jalan Uranus Shah Alam, Pandan Perdana dan dua premis di Kepong.
  • Sita ubat, peralatan estetik, telefon bimbit dan wang tunai; kes disiasat di bawah Akta Imigresen dan KKM periksa produk kosmetik tidak berdaftar.

Menurut kenyataan JIM, operasi khas itu membawa kepada penahanan tujuh warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun.

Operasi dijalankan di empat lokasi sekitar Lembah Klang iaitu Jalan Uranus, Shah Alam, Pandan Perdana dan dua premis di Kepong, hasil risikan selama sebulan dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan.

“Operasi bermula pukul 12.15 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” menurut kenyataan.

Menurut JIM, siasatan mendapati kesemua yang ditahan dipercayai bekerja sebagai juruterapi kecantikan dan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tempatan serta warga Indonesia menerusi TikTok dan Instagram.

Katanya, pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan di premis kediaman yang disewa dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Operasi itu turut menyita ubat-ubatan, peralatan rawatan estetik, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM400 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

“Aktiviti ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun lepas dan mampu menjana keuntungan sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah pelanggan dan perkhidmatan yang dijalankan,” menurut kenyataan.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Warga asing yang ditahan juga akan disiasat oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalah Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalah Dadah dan Kosmetik 1984 kerana memiliki keluaran yang tidak berdaftar dengan KKM,” menurut kenyataan.

Kesemua warga asing itu kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.