Kebakaran hutan: Prabowo bidas negara kritik Indonesia

Foto AFP

JAKARTA, 21 Oktober – Presiden Prabowo Subianto mengecam negara yang didakwanya gemar menghina Indonesia berhubung kebakaran hutan yang menyebarkan jerebu toksik ke negara jiran serta memusnahkan kawasan yang luas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prabowo ancam mendedahkan syarikat korporat yang terbabit apabila bukti mencukupi.
  • Beliau mengarahkan siasatan polis, Pejabat Peguam Negara, Kementerian Perhutanan, Angkatan Tentera dan agensi perisikan.
  • Pakar: amalan tebang dan bakar serta pengeringan tanah gambut punca utama; El Nino memperburuk kemarau.
  • Pemantau satelit lapor lebih 1.9 juta hektar musnah; jerebu cemarkan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Timor-Leste, ASEAN mengadakan mesyuarat.

“Berhubung negara tertentu yang gemar menghina bangsa Indonesia, apabila tiba masanya, kami akan mendedahkan syarikat yang terbabit,” kata Prabowo semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu, sambil mendakwa banyak syarikat korporat memikul tanggungjawab terhadap krisis itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan mana-mana syarikat atau negara yang dimaksudkan.

“Indonesia ialah negara yang sopan dan sabar. Negara kita sering dihina, tetapi percayalah, bangsa kita tidak mahu terus dihina sepanjang masa,” kata Prabowo.

Menurut Prabowo, beliau telah mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran, yang menurutnya bukan semata-mata berpunca daripada faktor semula jadi.

Pakar menyatakan kebakaran hutan di Indonesia sebahagian besarnya berpunca daripada amalan pembersihan tanah menggunakan kaedah tebang dan bakar yang memusnahkan litupan hutan tahan api serta kawasan tanah gambut yang telah dikeringkan.

Tahun ini, kebakaran semakin buruk akibat kemarau teruk yang dipengaruhi fenomena cuaca El Nino.

“Saya meminta pihak polis, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Perhutanan menjalankan siasatan dengan sokongan Angkatan Tentera serta agensi perisikan.

“Orang ramai juga telah menahan beberapa individu yang sengaja melakukan pembakaran. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai keganasan alam sekitar,” kata Prabowo.

Prabowo, yang genap dua tahun memegang jawatan Presiden pada Selasa ketika tahap sokongannya merosot ke paras terendah pernah direkodkan berkata, perbuatan membakar hutan dengan sengaja merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana tindakan itu membahayakan kesihatan jutaan rakyat.

“Sebaik sahaja bukti diperoleh, kami akan membatalkan semua lesen syarikat yang melanggar undang-undang,” tegasnya.

Negara gergasi Asia Tenggara itu berdepan kesukaran selama berbulan-bulan untuk mengawal kebakaran berkenaan.

Menurut pemantau bebas yang menganalisis data satelit, Nusantara Atlas, kebakaran memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan hingga September.

Jerebu itu menyebabkan tahap pencemaran udara meningkat ke paras berbahaya bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia, Singapura dan Timor-Leste, sekali gus mendorong blok serantau ASEAN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan krisis berkenaan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.