Jerebu: Penduduk Kalimantan Barat saman kerajaan

Foto AFP

PONTIANAK, 21 Oktober – Penduduk di wilayah Borneo, Indonesia menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan tanah yang luas serta menghasilkan jerebu berbau busuk sehingga menjejaskan kesihatan ribuan penduduk dan mengganggu kehidupan harian selama berbulan-bulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk memfailkan saman tindakan berkelompok menuduh kerajaan kecuaian, pengabaian dan kegagalan menyebabkan krisis kesihatan awam akibat jerebu.
  • Saman menamakan Presiden Prabowo Subianto, 26 pegawai kerajaan, polis dan perkhidmatan kecemasan sebagai pihak defendan.
  • Plaintif menuntut pengisytiharan darurat nasional, rawatan perubatan percuma, pampasan, dan pengagihan peralatan pemadaman mencukupi.
  • Punca kebakaran dikaitkan dengan amalan tebang dan bakar serta pengeringan tanah gambut, diburukkan lagi oleh kemarau berkaitan El Nino.

Gesaan itu dibuat ketika mahkamah di Pontianak, Kalimantan Barat mula mendengar hujah berhubung kebolehterimaan kes yang difailkan penduduk di negeri yang mempunyai populasi hampir enam juta orang terhadap kerajaan.

“Isu ini bukan sekadar mengenai pembakaran hutan dan tanah, malah berkait rapat dengan kesihatan awam, kualiti udara, kegiatan ekonomi, pendidikan dan keselamatan penduduk,” kata seorang penduduk, Achmad Mundzirin kepada AFP.

“Tindakan undang-undang ini bertujuan menuntut kerajaan bertanggungjawab terhadap pengendaliannya dalam menangani kebakaran hutan dan tanah,” kata lelaki berusia 36 tahun itu.

Peguam yang mewakili penduduk memfailkan saman tindakan berkelompok dengan mendakwa kerajaan melakukan ‘kecuaian, pengabaian dan kegagalan’ sehingga mengakibatkan krisis kesihatan awam berskala besar di Kalimantan Barat.

Saman itu turut menamakan Presiden Prabowo Subianto dan 26 pegawai daripada kerajaan pusat, wilayah dan tempatan, selain pihak polis serta perkhidmatan kecemasan.

Glorio Sanen, peguam yang mewakili plaintif berkata kepada pemberita pada Rabu bahawa masyarakat setempat sedang menanggung kesan buruk akibat bencana berkenaan.

“Presiden mesti memimpin secara langsung usaha menangani bencana jerebu ini supaya aspirasi dan harapan kami untuk mendapatkan udara bersih, langit biru serta sinaran matahari dapat kembali dinikmati di Kalimantan Barat,” katanya.

Kerajaan telah mengerahkan anggota bomba dengan bantuan sukarelawan ke kawasan terjejas, selain melaksanakan pembenihan awan dan operasi pengeboman air, namun keberkesanannya belum dapat dilihat sepenuhnya.

Menurut pakar, kebakaran hutan di Indonesia sebahagian besarnya berpunca daripada amalan pembersihan tanah menggunakan kaedah tebang dan bakar yang memusnahkan litupan hutan tahan api serta kawasan tanah gambut yang telah dikeringkan.

Tahun ini, kebakaran semakin buruk akibat kemarau teruk yang dipengaruhi fenomena cuaca El Nino.

Pihak plaintif mendakwa kerajaan sepatutnya mengambil langkah persediaan lebih menyeluruh, termasuk menggali lebih banyak telaga tiub dan mengagihkan peralatan pemadaman kebakaran yang mencukupi.

Mereka mahu kerajaan mengisytiharkan darurat bencana di peringkat nasional bagi membolehkan sumber tambahan disalurkan, serta menuntut rawatan kesihatan percuma dan pampasan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat penyakit pernafasan berkaitan kebakaran.

Bagaimanapun, peguam kerajaan Rokman Torang menegaskan, kerajaan pusat dan wilayah telah pun mengambil tindakan terhadap isu jerebu berkenaan.

Prabowo pula berkata pada Rabu bahawa banyak syarikat korporat memikul tanggungjawab terhadap krisis kebakaran dan jerebu itu, selain berikrar menjalankan siasatan menyeluruh.

Bagi seorang lagi penduduk Pontianak, Andi Fachrizal, 54, prosiding mahkamah itu membawa makna penting dalam perjuangan alam sekitar.

“Proses perundangan ini merupakan peluang untuk menegaskan semula bahawa hak orang ramai terhadap persekitaran yang baik dan sihat bukan sekadar prinsip yang termaktub dalam undang-undang dan peraturan, tetapi hak yang mesti dilindungi dan dipenuhi oleh negara,” katanya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.