Indonesia tidak gentar ancaman MSCI – Prabowo

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto/ Foto AFP

JAKARTA, 21 Oktober – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengecam penyedia indeks pasaran saham global MSCI pada Rabu, dengan menuduh firma itu cuba menakut-nakutkan negara berkenaan susulan ancaman menurunkan taraf pasaran saham Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prabowo mengecam MSCI, menegaskan Indonesia tidak gentar dan tidak akan tunduk kepada ugutan atau tekanan luar.
  • MSCI mempertimbangkan menurunkan klasifikasi, berisiko memaksa penjualan dana asing; JCI jatuh dan prestasi indeks merosot tahun ini.
  • Kerajaan dan IDX ambil langkah meningkatkan ketelusan, keluarkan saham berkepekatan tinggi dari indeks; kerajaan sedia laksana penjimatan besar.

MSCI minggu lalu menyatakan Indonesia tidak lagi sesuai diklasifikasikan sebagai pasaran sedang pesat membangun, berikutan kebimbangan pelabur terhadap struktur pemilikan saham dan corak dagangan di negara itu.

Susulan pengumuman berkenaan, Indeks Komposit Jakarta (JCI), penanda aras pasaran saham Indonesia menjunam lebih 11 peratus pada Jumaat, iaitu kejatuhan harian terbesar sejak 1998 berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan pengeluaran besar-besaran pelaburan asing.

Ketika berucap dalam mesyuarat kabinet pada Rabu, Prabowo menegaskan Indonesia tidak akan tunduk kepada tekanan atau ugutan pihak luar.

“Kami terus berdepan dengan pelbagai perkara, termasuk MSCI yang cuba menakut-nakutkan kami.

“Saya hanya ingin mengatakan kepada MSCI bahawa bangsa Indonesia tidak takut kepada sesiapa dan tidak akan diugut,” katanya.

JCI ditutup 0.94 peratus lebih tinggi pada Rabu selepas merosot ke paras terendah sejak penghujung 2020 pada awal minggu ini.

Indeks itu susut lebih 40 peratus sejak awal tahun, sekali gus menjadikannya antara indeks pasaran saham berprestasi terburuk di dunia.

MSCI sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai ketelusan struktur pemilikan saham yang masih tidak memadai, selain corak dagangan terancang yang menjejaskan ketepatan maklumat harga pasaran.

Firma itu sedang mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan semula Indonesia sebagai pasaran kendiri, langkah yang berpotensi memaksa dana pelaburan yang menjejaki indeks pasaran sedang pesat membangun MSCI menjual pegangan saham mereka di Indonesia.

Bagi menangani kebimbangan itu, Ketua Bursa Saham Indonesia (IDX), Jeffrey Hendrik pada Isnin mengumumkan beberapa langkah untuk meningkatkan ketelusan pasaran, termasuk mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai pemegang saham kecil kepada umum.

IDX turut merancang mengeluarkan saham yang mempunyai kepekatan pemilikan tinggi daripada Indeks Komposit Jakarta bagi memastikan pergerakan indeks itu mencerminkan keadaan pasaran dengan lebih tepat.

Dalam perkembangan berasingan, ekonomi Indonesia turut berdepan tekanan akibat kenaikan mendadak harga bahan api susulan perang di Asia Barat.

Indonesia yang mempunyai kira-kira 287 juta penduduk merupakan pengimport bersih minyak.

Bagaimanapun, kerajaannya bertegas mengekalkan harga bahan api bersubsidi pada paras sedia ada meskipun berdepan peningkatan kos yang membebankan.

Kenaikan harga makanan dan komoditi, walaupun masih dalam julat sasaran turut meningkatkan tekanan terhadap ekonomi sehingga mencetuskan bantahan, manakala tahap sokongan terhadap Prabowo merosot ke paras terendah pernah direkodkan.

Prabowo mengakui Indonesia berdepan pelbagai kesukaran dan gangguan, namun menegaskan kerajaan bersedia mengambil langkah penjimatan bagi menghadapi cabaran itu.

“Kami tidak takut. Kami mempunyai kekuatan, keberanian dan kesediaan untuk berkorban.

“Kami tidak mengenal erti menyerah kalah. Jika perlu, kami akan melaksanakan penjimatan besar-besaran dan berjimat dengan lebih berhemah selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Bank Indonesia pada Rabu mengekalkan kadar faedah utamanya pada 5.75 peratus, selepas menaikkan kadar berkenaan sebanyak tiga kali setakat tahun ini. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.