Geng Suria tumpas, sembilan ahli didakwa esok

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan Geng Suria yang dipercayai terbabit dalam 20 kes jenayah harta benda dan kekerasan, termasuk rompakan berkumpulan bersenjata di Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan ahli akan didakwa 22 Okt di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
  • Operasi Op Sunset (24-27 Sept) menahan enam suspek; tiga lagi ditahan di penjara atas kesalahan lain.
  • Polis merampas enam telefon bimbit dan 189 pil ekstasi (kira-kira 101.12 gram); siasatan dadah di bawah Seksyen 39B.
  • Kertas siasatan dirujuk ke Unit Jenayah Berat, Peguam Negara; semua disyorkan didakwa mengikut Seksyen 130V(1), hukuman 5-20 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sembilan ahli kumpulan itu akan didakwa pada 22 Oktober di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah, atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Beliau berkata, menerusi Op Sunset yang dilaksanakan dari 24 hingga 27 September lalu di Kedah dan Perak, polis menahan enam suspek berusia 28 hingga 39 tahun, manakala tiga lagi sedang ditahan di penjara atas kesalahan jenayah lain.

Kumpulan yang dipercayai aktif sejak awal 2024 itu mempunyai sembilan ahli berusia antara 28 hingga 52 tahun.

“Beberapa tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau, termasuk curi kenderaan, pecah rumah, dadah dan rompakan berkumpulan menggunakan senjata tajam,” menurut kenyataan itu.

Polis turut merampas enam telefon bimbit dan 189 pil ekstasi seberat kira-kira 101.12 gram.

Kes berkaitan dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan kediaman warga asing, premis perniagaan dan rumah yang dikenal pasti ketua kumpulan.

Ketika melakukan rompakan, ahli kumpulan menggunakan senjata berbahaya seperti pisau dan parang serta tidak teragak-agak mencederakan mangsa,” menurut kenyataan itu.

Kegiatan tersebut dipercayai menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit sejak 2024.

Kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara, yang bersetuju supaya kesemua sembilan ahli didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.

PDRM menegaskan komitmen untuk terus membanteras jenayah terancang dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.