
NEW YORK, 25 September – Malaysia menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), sambil menggesa tindakan antarabangsa bagi memastikan agensi itu dapat terus beroperasi tanpa halangan.
- Peranan UNRWA penting dalam menyediakan bantuan, perlindungan dan perkhidmatan asas kepada jutaan rakyat Palestin.
- Malaysia mengecam serangan dan pencerobohan premis UNRWA serta menuntut penghormatan terhadap keistimewaan dan kekebalan PBB.
- Negara ini menyumbang kewangan kepada UNRWA dan menggesa negara berkemampuan menambah pembiayaan untuk kesinambungan operasi agensi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan UNRWA amat penting dalam menyediakan bantuan, perlindungan dan perkhidmatan asas kepada jutaan penduduk Palestin.
Beliau turut mengecam serangan terhadap premis dan operasi UNRWA, termasuk pencerobohan serta pengambilalihan Pusat Latihan Kalandia.
“Premis Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), tidak boleh diceroboh, manakala keistimewaan dan kekebalan yang diberikan kepadanya perlu dihormati.
“Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, mengambil tindakan konkrit bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan melaksanakan semua resolusi PBB berkaitan Palestin.
“Malaysia juga menegaskan undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), perlu dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Peringkat Menteri Bagi Menyokong UNRWA di sela-sela Perhimpunan Agung PBB ke-81 di sini.
Dalam tempoh lima tahun lalu, Malaysia telah menyumbang AS$6.7 juta kepada UNRWA.
Pada Julai lalu, Malaysia menyatakan komitmen AS$1 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan sumbangan AS$200,000 setahun.
Malaysia juga menggesa negara anggota yang berkemampuan turut menyumbang bagi memastikan pembiayaan UNRWA kekal berterusan sehingga penyelesaian yang adil dan berkekalan untuk rakyat Palestin dicapai.