SPRM mahu hasil penyelidikan diterjemah kepada dasar, tindakan antirasuah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abdul Halim Aman

PUTRAJAYA, 25 September – Hasil penyelidikan berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan dasar, sistem serta proses kerja bagi memastikan usaha pencegahan rasuah memberi impak kepada negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelidikan penting untuk mengenal pasti kelemahan sistem, menilai risiko dan mengukur keberkesanan dasar.
  • Pembentukan dasar awam perlu diperkukuh melalui penyelidikan berkualiti, data sahih dan analisis menyeluruh untuk manfaat rakyat dan negara.
  • GIACC dan SPRM mengumpul kajian (2020-2025) dan hasil kompilasi 2022-2025 sebagai rujukan memperkukuh tatakelola, integriti serta pencegahan rasuah.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abdul Halim Aman, penyelidikan penting bagi mengenal pasti kelemahan sistem, menilai risiko serta mengukur keberkesanan sesuatu dasar.

“Pembentukan dasar awam perlu diperkukuhkan melalui penyelidikan yang berkualiti, data yang sahih dan analisis yang menyeluruh agar setiap keputusan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan amalan “evidence-based policymaking”, iaitu dasar yang digubal berasaskan bukti, data dan penilaian secara objektif.

Sejak 2020 hingga 2025, sebanyak 50 tajuk penyelidikan membabitkan isu tatakelola, integriti dan antirasuah dilaksanakan entiti penyelidikan tempatan menerusi geran di bawah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

SPRM turut membangunkan Laporan Kompilasi Persidangan Tahun 2022 hingga 2025 yang menghimpunkan hasil dan dapatan penyelidikan sebagai sumber rujukan dalam memperkukuh agenda tatakelola, integriti serta pencegahan rasuah.

Datuk Seri Abdul Halim berharap dapatan penyelidikan itu terus dimanfaatkan dalam perumusan dasar, penambahbaikan sistem dan proses kerja serta pembangunan strategi pencegahan rasuah berasaskan bukti.

Pada persidangan kali ini, penyelidik daripada enam universiti termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membentangkan dapatan kajian masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.