MCMC teliti, kemuka kes berkaitan akaun WhatsApp kepada Meta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 25 September – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti aduan orang ramai berhubung akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi dapat diakses.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC telah mengemukakan kes kepada Meta untuk penjelasan dan tindakan sewajarnya.
  • Pengguna dinasihatkan guna saluran rasmi WhatsApp, jangan kongsi kod atau PIN, aktifkan Two-Step Verification.
  • Jika pemulihan rasmi gagal, laporkan kepada MCMC untuk tindakan lanjut dan pengemukaan kes kepada Meta.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan suruhanjaya itu telah mengemukakan kes berkenaan kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan sewajarnya.

“MCMC akan terus memantau perkara ini dan mendapatkan kerjasama platform bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Pengguna yang terjejas dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi WhatsApp untuk pemulihan atau semakan akaun,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan sama, MCMC memaklumkan berkenaan pengambilalihan akaun dan penyekatan akaun ialah dua perkara berbeza.

“Akaun yang telah diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp, dan seterusnya menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform,” tambah kenyataan itu.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan, mengaktifkan ciri Two-Step Verification serta mengelakkan pautan atau aplikasi mencurigakan.

Selain itu pengguna juga perlu berhati-hati dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan pemulihan akaun dengan meminta wang, maklumat peribadi atau kod pengesahan.

“Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan melalui saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC untuk tindakan lanjut dan pengemukaan kes kepada Meta,” menurut suruhanjaya itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.