
KUALA LUMPUR 25 September – Teknologi nuklear disasar memberi sumbangan lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2030, khususnya menerusi sektor perubatan, pertanian, makanan dan industri.
- Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 memfokus enam sektor utama untuk memperkasa aplikasi dan inovasi teknologi nuklear.
- Teknologi nuklear menyokong pertanian dan makanan melalui varieti tanaman baharu serta memastikan kebersihan dan ketulenan produk untuk eksport.
- Bidang perubatan jadi tumpuan utama dengan rancangan tingkat pengeluaran radioisotop perubatan bagi pengesanan dan rawatan penyakit.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, sasaran itu digariskan menerusi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang memberi tumpuan kepada enam sektor utama.
Perkembangan teknologi nuklear bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti, malah membuka ruang kepada penghasilan produk bernilai tinggi dan pasaran eksport.
“Jadi kita jangka menjelang 2030, ekonomi kita disumbang oleh teknologi nuklear akan meningkat. Contohnya nilai eksport produk-produk yang berdasarkan daripada teknologi nuklear,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkjasapuri Kota Media di sini.
Antara tumpuan utama ialah sektor pertanian dan makanan, termasuk penghasilan varieti tanaman baharu yang mempunyai ciri lebih baik serta berpotensi meningkatkan hasil kepada petani.
Teknologi nuklear turut digunakan dalam sektor makanan bagi memastikan aspek kebersihan dan ketulenan produk, sekali gus menyokong penghasilan produk untuk pasaran tempatan dan eksport.
Namun, manfaat paling besar yang mahu dirasai rakyat menjelang 2030 adalah dalam bidang kesihatan.
“Impak yang kita jangkakan yang besar adalah di dalam bidang perubatan. Kita ingin memperoleh satu kemudahan bagi penghasilan radioisotop untuk dalam bidang perubatan.
“Jadi kita harap sekitar 2030 kita memperoleh mesin yang dapat menghasilkan radioisotop perubatan yang merangkumi banyak jenis radioisotop,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, kapasiti penghasilan radioisotop perubatan dijangka ditingkatkan daripada mesin 18 megawatt ketika ini kepada 30 megawatt menjelang 2030.
Peningkatan itu membolehkan lebih banyak jenis radioisotop dihasilkan untuk keperluan pengesanan dan rawatan pelbagai penyakit, termasuk kanser.
Pada masa sama, usaha memperluas penggunaan teknologi nuklear dijangka membolehkan manfaatnya turut dirasai masyarakat di pantai Timur, khususnya Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Tanpa sedar, teknologi nuklear yang digunakan secara terkawal juga telah diaplikasikan dengan kehidupan seharian, termasuk dalam perubatan, pertanian, pemeriksaan air serta pelbagai aplikasi industri.