
SHAH ALAM, 25 September – Penyertaan golongan muda dalam kejohanan Muay Thai terus meningkat, sekali gus mencerminkan minat yang semakin berkembang terhadap sukan berkenaan.
- Peringkat amatur (7–15 tahun) merekodkan lebih 500 peserta, penganjur terpaksa menolak penyertaan.
- Kejohanan menawarkan 14 tali pinggang kejuaraan dipertandingkan oleh 28 penarung dari dalam dan luar negara.
- Program ini bantu Persatuan Muaythai Malaysia melahirkan peninju berkualiti dan menyokong perkembangan kelab Muay Thai seluruh negara.
Penganjur Kuda Merah International Muaythai Challenge Super Championship 2026, Rosli Yaacob berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi jumlah penyertaan bagi kejohanan peringkat amatur yang melibatkan peserta berusia antara tujuh hingga 15 tahun.
“Kalau kita anjurkan di peringkat amatur berumur 7 tahun hingga 15 tahun, lebih daripada 500 peserta lelaki dan wanita.
“Setiap tahun meningkat. Daripada tak sampai 100 orang mula-mula dulu, sekarang lebih daripada 500 orang sehingga penganjur terpaksa tolak sebab tak cukup hari untuk bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas sidang media Kejohanan Kuda Merah International Muaythai Challenge Super Championship 2026 di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur memaklumkan kejohanan pada kali ini menawarkan sebanyak 14 tali pinggang kejuaraan yang akan menjadi rebutan 28 penarung dari dalam dan luar negara.
Penganjuran kejohanan itu turut membantu Persatuan Muaythai Malaysia untuk melahirkan peninju berkualiti untuk diserapkan bagi mewakili negara ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, kejohanan itu juga akan memberi manfaat kepada kelab Muay Thai di seluruh negara untuk terus berkembang terutamanya apabila mereka dapat membawa pulang tali pinggang kejuaraan.
Sementara itu, kejohanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur pada 26 hingga 27 September ini menyasarkan kehadiran antara 3,000 hingga 5,000 penonton bagi setiap malam.