Peralihan kepada sistem BTS perlu dibuat secara berfasa – Penganalisis

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Cadangan peralihan daripada sistem Jual Kemudian Bina (STB) kepada Bina Kemudian Jual (BTS) di bawah Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 perlu dilaksana secara berperingkat bagi mengelak kejutan kepada industri hartanah, khususnya dari aspek pembiayaan dan kos pembangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Model STB berdepan risiko projek terbengkalai, kelewatan pelaksanaan dan isu kualiti pembinaan.
  • Pelaksanaan perlu bermula secara berfasa dan sukarela; pemaju yang beralih diberi insentif serta sokongan pembiayaan.
  • Kerajaan perlu mewajibkan industri menyalurkan data projek seperti jenis rumah, harga, lokasi dan prestasi jualan.
  • Empat aspek perundangan perlu dikukuhkan: pembangunan dan penjualan, pengurusan strata, hubungan kejiranan serta undang-undang pemilik dan penyewa.

Penganalisis hartanah, Datuk Ahyat Ishak berkata, meskipun sistem STB berjaya membangunkan jutaan unit rumah, model itu turut berdepan risiko projek terbengkalai, kelewatan dan isu kualiti pembinaan.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu memastikan usaha melindungi pembeli rumah tidak menyebabkan kenaikan harga kediaman, selain mengambil kira kemampuan pemaju kecil dan sederhana.

“Jadi kita lihat perlu ada keseimbangan dan mencari pendekatan yang sesuai, di mana pelaksanaan itu mungkin perlu dibuat secara berfasa bermula secara sukarela pada peringkat awal.

“Pemaju yang secara sukarela beralih daripada model STB kepada BTS boleh diberikan insentif serta sokongan pembiayaan untuk membangunkan rumah tersebut,” katanya kepada RTM.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan analitik data raya dalam sektor hartanah tidak semestinya diwajibkan kepada pemaju, sebaliknya kerajaan perlu mewajibkan industri menyalurkan data projek seperti jenis rumah, harga, lokasi dan prestasi jualan.

Data berkenaan membolehkan kerajaan mengenal pasti ketidaksepadanan antara penawaran dengan permintaan, sekali gus mengelak pembangunan rumah yang tidak memenuhi keperluan pasaran.

Sementara itu, beliau berpandangan empat aspek perundangan perlu diberi perhatian meliputi pembangunan dan penjualan hartanah, pengurusan strata, hubungan kejiranan serta pemilik rumah dan penyewa.

Menurut beliau, undang-undang pemilik dan penyewa penting bagi melindungi kepentingan kedua-dua pihak, sekali gus memastikan urusan sewaan lebih selamat dan teratur.

DRN 2026-2035 yang dilancarkan pada 10 Ogos lalu, turut menyasarkan sejuta unit rumah mampu milik berkualiti, pembasmian projek terbengkalai menjelang 2030 serta pembaharuan perundangan demi kesejahteraan rakyat.

Menerusi dasar itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membawa empat pembaharuan perundangan bagi memperkukuh ekosistem perumahan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.