
ISKANDAR PUTERI, 6 Mei – Johor berjaya menarik minat 36 pelabur global dengan potensi komitmen awal mencecah RM10 bilion hasil lawatan delegasi kerajaan negeri ke Shanghai, China baru-baru ini.
- Lawatan memberi tumpuan kepada pengukuhan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
- Delegasi mengadakan sesi libat urus strategik bersama lebih 150 pelabur berpotensi tinggi.
- Komitmen pelaburan tertumpu pada E&E, teknologi bateri, aeroangkasa, automotif dan pembuatan berteknologi tinggi.
- Pelaburan dijangka mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan membuka peluang kepada PKS tempatan sertai rantaian bekalan.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, lawatan tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Beliau memaklumkan, delegasi berkenaan turut mengadakan sesi libat urus strategik bersama lebih 150 pelabur berpotensi tinggi termasuk pemilik syarikat dan pembuat keputusan peringkat tertinggi.
“36 syarikat telah menyatakan komitmen awal atau minat kukuh untuk melabur di Johor, satu petunjuk bahawa Johor terus kekal relevan dan menarik walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.
“Lebih signifikan, komitmen pelaburan awal dianggarkan mencecah sekitar RM10 bilion, tertumpu kepada sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), teknologi bateri, aeroangkasa, automotif serta pembuatan berteknologi tinggi,” katanya ketika Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Pada tahun lalu, Johor merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM110 bilion, sekali gus mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan ekonomi negeri.
Pelaburan yang dibawa masuk dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri.