Penambahan klausa peperangan penting dalam polisi insurans kargo marin – PIAM

Risiko peperangan lazimnya dikecualikan daripada polisi standard perlindungan kargo marin (Foto hiasan) – BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Penambahan klausa peperangan dalam polisi perlindungan kargo marin merupakan suatu kepentingan khususnya bagi penghantaran melalui kawasan berisiko tinggi atau zon konflik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polisi asas ICC melindungi kerugian fizikal serta ancaman seperti hanyut, kecurian dan lanun; risiko peperangan secara amnya dikecualikan.
  • Premium untuk risiko peperangan berbeza dan biasanya lebih tinggi; syarikat insurans menentukan kadar dan perlindungan boleh ditarik balik.
  • Jawatankuasa Perang Bersama di London menetapkan kawasan berisiko; pemilik kapal dan penghantar perlu menilai kos operasi serta pendedahan risiko.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, perlindungan kargo marin secara asas merangkumi dua komponen utama.

Menurutnya, komponen pertama membabitkan insurans ke atas kargo di bawah Klausa Institut Kargo (ICC) yang menawarkan perlindungan meluas terhadap kerugian atau kerosakan fizikal, manakala komponen kedua membabitkan perlindungan risiko perang.

Beliau berkata, perlindungan asas tersebut meliputi pelbagai risiko seperti kargo hanyut, kecurian serta insiden lanun.

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon – RTM

“Walau bagaimanapun, risiko peperangan adalah dikecualikan. Oleh itu, polisi perlu diperluaskan untuk merangkumi perlindungan peperangan.

“Setelah perlindungan itu dimasukkan, jika kargo berada di kawasan konflik, maka kerosakan atau rampasan terhadapnya akan dilindungi,” katanya semasa penerangan bersama media.

Beliau berkata, dari segi penentuan premium, kadar bagi risiko peperangan adalah berbeza dan lazimnya lebih tinggi berbanding kadar insurans kargo biasa, terutama apabila melibatkan laluan di kawasan konflik.

“Kebiasaannya di kawasan konflik, premium yang dikenakan adalah menerusi klausa peperangan, bukannya kadar insurans kargo,” katanya.

Menurutnya, penetapan kawasan berisiko dilakukan oleh Jawatankuasa Perang Bersama di London yang dianggotai wakil industri insurans.

Langkah itu katanya, membolehkan pemilik kapal menyesuaikan kos operasi seperti kadar tambang dan gaji pekerja, manakala penaja jamin dapat menilai tahap pendedahan risiko dengan lebih tepat.

Beliau turut menjelaskan, kadar premium peperangan ditentukan oleh syarikat insurans masing-masing dan bukan oleh jawatankuasa tersebut, malah dalam situasi konflik yang terlalu serius, perlindungan peperangan boleh ditarik balik sepenuhnya.

Pemilik kargo, pengimport dan pengeksport dinasihatkan supaya lebih peka terhadap laluan penghantaran bagi mengelakkan kawasan berisiko tinggi.