
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Industri insurans am sedang menilai semula struktur perlindungan bagi kenderaan elektrik (EV) yang dijangka memberi kesan kepada kadar premium ekoran peningkatan kos baik pulih dan tuntutan bagi segmen berkenaan.
- Kos baik pulih EV meningkat; logistik alat ganti import dan kekangan bekalan jadi kebimbangan utama industri.
- Komponen bateri dan sistem ADAS mendorong kos pembaikan tinggi kerana kerumitan teknologi dan penderia yang terjejas meluas.
- Industri mencatat kerugian pengunderaitan pada segmen motor manakala segmen bukan motor terus menunjukkan prestasi positif.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, peningkatan kos baik pulih EV, termasuk isu logistik alat ganti import, kini menjadi antara kebimbangan utama industri insurans tempatan ketika ini.
Beliau menjelaskan bahawa kerumitan teknologi pada EV, terutamanya komponen bateri dan sistem elektronik, menyebabkan kos pembaikan melonjak sekiranya berlaku kemalangan.
“Bateri biasanya merangkumi sekitar 30 hingga 50 peratus daripada keseluruhan kos, bergantung kepada model. Namun, faktor kedua ialah sistem ADAS, iaitu ciri bantuan pemanduan serta komponen elektronik yang terlibat.
“Bahagian inilah yang paling mahal. Disebabkan terdapat penderia di seluruh kenderaan, apabila berlaku kerosakan di bahagian hadapan, komponen tersebut turut terjejas. Untuk menggantikan bahagian-bahagian ini juga boleh menjadi lebih mahal.,” katanya semasa sesi penerangan bersama media, hari ini.
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan, Kim Soon memaklumkan industri berkenaan mencatatkan premium bertulis kasar (GWP) sebanyak RM24.2 bilion pada 2025, meningkat 4.8 peratus daripada RM23.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, segmen insurans motor yang menyumbang 45.2 peratus daripada jumlah keseluruhan premium masih mencatatkan kerugian pengunderaitan sebanyak RM289.3 juta dengan nisbah gabungan pada 103 peratus.
Sementara itu, segmen bukan motor seperti insurans kebakaran, marin, penerbangan dan transit (MAT) terus menunjukkan prestasi positif dengan insurans kebakaran sahaja menyumbang keuntungan taja jamin sebanyak RM700.8 juta.