
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ringgit meneruskan momentum kenaikan apabila ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama dan unit serantau pada Rabu, didorong sentimen yang bertambah baik ketika pelabur menunggu keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).
- Mesyuarat MPC BNM esok; kebanyakan ahli ekonomi jangka OPR dikekalkan pada 2.75 peratus.
- Pasaran memberi tumpuan kepada penilaian inflasi dan prospek pertumbuhan; ringgit dianggap berada pada kedudukan baik.
- Harga minyak turun selepas pengumuman Trump mengenai penggantungan Projek "Freedom", membantu pengukuhan ringgit dan penurunan Indeks Dolar AS.
- Sentimen geopolitik lebih positif selepas isyarat kemajuan rundingan dengan Iran, menyokong minat risiko dan aliran masuk ekuiti serantau.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan mesyuarat ketiga bagi tahun ini dan dijangka membuat pengumuman berkaitan OPR esok.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada 3.9230/9275 daripada 3.9540/9575 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran terarah kepada keputusan mesyuarat MPC BNM esok, dengan kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan OPR dikekalkan pada 2.75 peratus.
“Perkara utama yang diberi perhatian adalah penilaian terkini terhadap inflasi dan prospek pertumbuhan Malaysia.
“Buat masa ini, ringgit dilihat berada pada kedudukan yang baik memandangkan data makroekonomi yang memberangsangkan, manakala kerajaan kekal memberikan perhatian kepada tindak balasnya terhadap kejutan ekonomi semasa,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata ringgit mengukuh berbanding dolar AS apabila harga minyak mentah turun berikutan pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai penggantungan Projek “Freedom” susulan harapan Washington untuk mencapai penyelesaian dengan Iran.
“Selain itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.38 peratus kepada 98.068 mata, dan pada masa sama minat risiko turut meningkat dengan agak ketara begitu juga penanda aras ekuiti di rantau Asia,” katanya.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata daya tahan mata wang tempatan disokong oleh sentimen geopolitik yang semakin baik, sekali gus mendorong minat risiko di seluruh pasaran Asia.
Beliau berkata sentimen pasaran semakin positif selepas Trump memberi isyarat kemajuan ke arah kemungkinan “perjanjian muktamad” dengan Iran, seterusnya mengukuhkan keyakinan pasaran bahawa konflik di Asia Barat mungkin berubah.
“Perkembangan itu menambah momentum baharu kepada persekitaran yang sudah positif bagi aset berisiko, khususnya apabila saham teknologi global terus mencatatkan kenaikan dan menyokong aliran masuk ekuiti serantau,” katanya.
Pada akhir dagangan, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.6189/6242 daripada 4.6288/6329 ketika ditutup pada Selasa dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.3443/3504 daripada 5.3622/3670.
Bagaimanapun, ringgit turun sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5159/5191 daripada 2.5138/5163 semalam.
Ringgit juga ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara rakan serantau.
Mata wang tempatan lebih teguh berbanding dolar Singapura kepada 3.0946/0986 daripada 3.1013/1042 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 225.6/225.9 daripada 227.2/227.5.
Ringgit juga lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 6.39/6.41 daripada 6.43/6.44 semalam, namun turun berbanding baht Thailand kepada 12.1866/2074 daripada 12.1064/1223.- BERNAMA