Dasar import EV CBU kembali kepada asal, tertakluk syarat baharu mulai 1 Julai

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Mei– Dasar berkaitan pengimportan kenderaan elektrik (EV) siap sepenuhnya (CBU) akan dikembalikan kepada ketetapan asal susulan tamatnya tempoh pengecualian khas pada 31 Disember 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat dengan baki stok di pelabuhan atau transit dibenarkan menjual sehingga habis berdasarkan syarat pengecualian terdahulu.
  • Mulai 1 Julai 2026, pengimport EV CBU tertakluk kepada CIF minima RM200,000 dan kuasa motor minima 180 kW.
  • MITI menegaskan dasar telus, konsisten dan seimbang untuk sokong pembangunan industri automotif tempatan serta lindungi ekonomi dan pengguna.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kelonggaran akan diberikan kepada syarikat yang masih mempunyai baki stok sedia ada, di pelabuhan mahupun dalam transit.

Syarikat-syarikat tersebut dibenarkan untuk terus menjual kenderaan berkenaan sehingga habis berdasarkan syarat pengecualian yang ditetapkan sebelum ini.

“Oleh itu, mulai 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama.

“Antaranya, nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000, selain had minimum kuasa motor yang diselaraskan daripada 200 kilowatt (kW) kepada 180kW dan ke atas,” katanya dalam kenyataan sama.

Penyelarasan baharu berkenaan telah dimaklumkan kepada semua syarikat pemegang Permit Import (AP) Francais melalui sesi libat urus yang dijalankan pada 30 April lalu.

MITI turut menegaskan komitmennya dalam memastikan persekitaran dasar yang telus, konsisten, dan seimbang bagi menyokong pembangunan industri automotif tempatan, di samping melindungi kepentingan ekonomi negara serta hak pengguna.

Sebelum ini, tempoh pengecualian khas bagi pengimportan EV CBU di bawah AP Francais sebelum ini telah dilaksanakan selama empat tahun dan berakhir secara rasmi pada 31 Disember tahun lalu.