
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Harga runcit RON97 kekal RM4.90 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing naik lima sen bagi tempoh 7 hingga 13 Mei ini.
- MOF mengumumkan RON97 kekal, manakala RON95 tanpa subsidi dan diesel dicatatkan kenaikan bagi tempoh ditetapkan.
- Kerajaan mengekalkan subsidi bersasar termasuk BUDI95, diesel Sabah Sarawak Labuan, SKPS dan SKDS untuk golongan serta sektor tertentu.
- Harga petroleum kekal tinggi akibat konflik Asia Barat, menjejaskan bekalan serta merosakkan fasiliti pengeluaran dan penapisan.
- Kerajaan MADANI menyeru rakyat guna bahan api secara berhemat untuk membantu perkukuh kestabilan bekalan negara.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM4.02 seliter berbanding RM3.97 seliter sebelum ini, manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik kepada RM5.17 seliter berbanding RM5.12 seliter minggu lepas.
Dalam tempoh sama, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu, meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
MOF memaklumkan pelarasan harga itu berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.
“Harga petroleum masih kekal tinggi, melebihi USD100 setong, berikutan ketiadaan penyelesaian terhadap konflik di Asia Barat.
“Keadaan ini turut menjurus kepada kekangan bekalan minyak mentah dan produk petroleum global, yang semakin meruncing akibat kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Justeru, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemat bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara.- BERNAMA