Penggunaan AI tingkat daya tahan rantaian bekalan

Penerapan AI perlu disokong tadbir urus, etika, proses dan kawalan yang kukuh

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam organisasi perakaunan berpotensi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dengan membuka peluang kepada penghasilan produk dan perkhidmatan baharu, selain mewujudkan sektor ekonomi baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan AI bergantung peningkatan kemahiran dan kreativiti tenaga kerja.
  • AI boleh menganalisis peraturan dan cukai untuk kenal pasti peluang produk, tarif dan penetapan harga.
  • Penerapan AI memerlukan tadbir urus, etika, proses dan kawalan kukuh.
  • Risiko keselamatan siber dan penyalahgunaan AI memerlukan profesional perakaunan bersikap berhati-hati.

Perunding Dasar Kanan Asia Pasifik, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Sharath Martin menyatakan, potensi berkenaan bagaimanapun bergantung pada peningkatan kemahiran serta kreativiti tenaga kerja bertujuan memastikan teknologi itu dapat dimanfaat secara optimum.

“Jika dilihat semula rantaian bekalan, perkara seperti cukai boleh dianalisis menggunakan AI.

‘Penggunaan teknologi berkenan, berupaya menganalisis pelbagai peraturan dan kerangka cukai bagi mengenal pasti produk yang menawarkan peluang lebih baik, termasuk dari segi penetapan tarif serta harga, sekali gus mewujudkan kelebihan ekonomi,”katanya selepas Forum Pertukaran Kepimpinan ACCA 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya penerapan AI perlu disokong tadbir urus, etika, proses dan kawalan yang kukuh bagi menangani risiko keselamatan siber serta memastikan teknologi itu digunakan secara bertanggungjawab.

“AI boleh digunakan untuk tujuan yang sangat memudaratkan dan kita tidak boleh bersikap terlalu naif mengenainya.

”Oleh itu, dalam menjalankan tanggungjawab sebagai akauntan mahupun menguruskan operasi perniagaan, kita perlu berhati-hati terhadap risiko keselamatan siber daripada penggunaan AI,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.