
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Pengecualian tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) terhadap hampir keseluruhan eksport semikonduktor Malaysia dijangka membantu melindungi sektor berkenaan, daripada kesan ketidaktentuan dasar tarif AS.
- Semikonduktor antara komponen eksport utama; Malaysia mempunyai kedudukan kukuh dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
- Eksport semikonduktor Malaysia meningkat 107.4% tahun ke tahun pada Ogos 2026, menunjukkan pemulihan dan momentum kukuh.
- Permintaan cip global dipacu perkembangan kecerdasan buatan, menyokong pertumbuhan berterusan sektor.
- Firma penyelidikan jangka permintaan global kekal kukuh baki tahun, khususnya di AS dan rantau Asia-Pasifik.
Phillip Capital Research memberitahu perlindungan tarif itu penting memandangkan semikonduktor merupakan antara komponen utama eksport Malaysia dan negara mempunyai kedudukan kukuh dalam rantaian bekalan global.
“Eksport semikonduktor Malaysia ke AS berjumlah kira-kira RM85.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, menunjukkan kepentingan pasaran AS kepada sektor tersebut.
“Walaupun ketidaktentuan berhubung dasar tarif AS masih berlarutan, analisis kami menunjukkan eksport Malaysia sebahagian besar, kekal dilindungi pengecualian bagi sektor semikonduktor dengan hampir keseluruhan eksport komponen itu ke AS dikecualikan daripada tarif,” katanya menerusi satu nota kajian.
Eksport semikonduktor Malaysia meningkat 107.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026, lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan meningkat daripada 83.4 peratus pada Julai lepas.
Firma penyelidikan itu berkata, momentum dijangka berterusan susulan peningkatan permintaan cip global yang turut dipacu perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, jualan semikonduktor global berkembang 135.1 peratus tahun ke tahun pada Julai 2026, pertumbuhan terpantas dalam rekod bagi bulan keenam berturut-turut, manakala pertumbuhan bagi tempoh Januari hingga Julai mencapai 92.1 peratus.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan permintaan semikonduktor global kekal kukuh bagi baki tahun ini, khususnya di AS dan rantau Asia-Pasifik, yang merupakan antara pasaran utama Malaysia.