
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Empat cadangan dikemukakan GXBank bagi memperkukuh sektor kewangan digital merangkumi peluasan skim jaminan kredit untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta insentif meningkatkan keselamatan siber menerusi Belanjawan 2027.
- Peluasan skim jaminan kredit kerajaan termasuk kerangka pembiayaan digital untuk memudahkan PMKS mendapatkan modal kerja.
- Gunakan data kredit alternatif seperti aliran tunai masa nyata dan transaksi e-dagang untuk pembiayaan modal kerja tanpa cagaran pada kos lebih rendah.
- Pelepasan duti setem atau pengecualian cukai bersasar bagi pinjaman mikro untuk mengurangkan kos pentadbiran dan kos peminjaman efektif.
- Insentif cukai dan geran padanan awam untuk pelaburan institusi dalam pengesanan penipuan berasaskan AI secara masa nyata.
Ketua Pegawai Eksekutif GXBank Kaushik Chowdhury berkata peluasan kemudahan jaminan kredit kerajaan, termasuk kemudahan RM10 bilion Bank Negara Malaysia (BNM)-Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), wajar merangkumi kerangka pembiayaan digital bertujuan memudahkan PMKS memperoleh modal kerja.
”Penggunaan data penilaian kredit alternatif seperti aliran tunai masa nyata dan transaksi e-dagang membolehkan bank digital menyalurkan pembiayaan modal kerja tanpa cagaran pada kos lebih rendah kepada perniagaan kecil yang berdepan tekanan margin,”katanya dalam kenyataan pra-Belanjawan 2027.
GXBank turut mencadangkan pelanjutan pelepasan duti setem bagi pembiayaan mikro melalui pengecualian cukai bersasar untuk pinjaman bernilai rendah.
Langkah itu bertujuan menghapuskan kos pentadbiran dan transaksi, seterusnya membolehkan penjimatan daripada inisiatif itu disalurkan kepada penjaja, pekerja gig dan PMKS bagi membantu mengurangkan kos peminjaman efektif.
Dalam pada itu, bank digital itu juga mencadangkan usaha memudah cara integrasi antara bank digital berlesen dengan pangkalan data pusat kerajaan melalui penggunaan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) secara terus dan berkos rendah.
Langkah itu, katanya dapat melancarkan proses pengesahan digital, mengurangkan kos operasi serta memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan, terutama bagi komuniti luar bandar dan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
“Bagi memperkukuh perlindungan pengguna, GXBank mencadangkan insentif cukai dan geran padanan awam diberikan kepada institusi kewangan yang melabur dalam sistem pengesanan penipuan berasaskan kecerdasan buatan (AI) secara masa nyata.
”Perlindungan daripada penipuan perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada infrastruktur kritikal bagi membolehkan institusi kewangan mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi tanpa memindahkan kos teknologi kepada pengguna berpendapatan rendah.
”Cadangan-cadangan berkenaan selari dengan usaha pihak bank untuk memperluas jaringan perlindungan sosial serta memperkukuh daya tahan isi rumah dan PMKS, di samping meningkatkan keterangkuman kewangan melalui penggunaan teknologi,” katanya.