
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan 9 Oktober ini dijangka kekal bercirikan pengembangan menyokong pertumbuhan ekonomi, di samping memperkukuh kedudukan fiskal negara serta meningkatkan pendapatan rakyat.
Pakar Ekonomi, Professor Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berpendapat, pendekatan itu mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global, selain keperluan mengurus perbelanjaan pembangunan dan operasi kerajaan secara lebih berkesan.
- Pastikan pertumbuhan melebihi kos pembiayaan hutang supaya kerajaan ada ruang urus kewangan dan hasil meningkat.
- Terus menumpukan kepada sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, pembuatan dan perkhidmatan.
- Perkasa peranan sektor swasta serta terjemahkan pertumbuhan kepada peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan isi rumah.
“Pertama, pertumbuhan ekonomi kita semakin meningkat. Walaupun dalam keadaan (ekonomi global) yang tidak memberangsangkan, kita perlu memastikan pertumbuhan ekonomi kita melebihi daripada kos pembiayaan hutang kerajaan.
“Sekiranya pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan melebihi kos pembiayaan hutang, kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengurus kewangan dan belanjawan dengan lebih baik kerana pertumbuhan ekonomi akan membantu meningkatkan hasil kerajaan,”katanya kepada RTM.
Tambah beliau, Belanjawan 2027 juga dijangka terus menumpukan kepada sektor-sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, pembuatan dan perkhidmatan.
Beliau juga berpandangan, peranan sektor swasta sebagai penggerak utama ekonomi wajar diperkasa menerusi sokongan dan galakan yang bersesuaian daripada kerajaan.
Dalam pada itu, jelasnya peningkatan pendapatan rakyat perlu terus diberi perhatian, terutamanya dalam keadaan tekanan kos sara hidup, selain ketidakpastian ekonomi global yang berlanjutan.
”Pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan dan aktiviti ekonomi yang lebih baik supaya manfaatnya dapat dirasai isi rumah,”katanya.