Pengecualian gaji minimum lindungi kelangsungan PKS

Pertumbuhan gaji yang mampan perlu disokong penciptaan nilai dan peningkatan produktiviti

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Keputusan mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu berupaya melindungi kelangsungan perniagaan serta pekerjaan di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian kenaikan gaji minimum untuk PKS melindungi kelangsungan perniagaan dan pekerjaan.
  • Keputusan memberi kelegaan kepada PKS yang ditimpa peningkatan kos dan margin semakin terhad.
  • Pertumbuhan gaji mampan perlu disokong penciptaan nilai, peningkatan produktiviti dan Dasar Gaji Progresif.
  • Kerajaan perlu bekerjasama dengan persatuan industri sediakan latihan PKS dan tangani kos overhed, pematuhan, logistik serta utiliti.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berpendapat langkah berkenaan memberi kelegaan kepada 1.3 juta PKS yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

“Ini merupakan keputusan yang dibuat pada masa tepat, terutamanya ketika PMKS berdepan tekanan peningkatan kos berterusan, margin yang semakin terhad dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Pengumuman itu juga membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI kepada realiti dihadapi perniagaan tempatan, di samping memastikan kebajikan pekerja terus dilindungi,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, pertumbuhan gaji yang mampan perlu disokong penciptaan nilai dan peningkatan produktiviti, selaras dengan tumpuan strategik kerajaan kepada Dasar Gaji Progresif.

“Kerajaan perlu bekerjasama dengan persatuan industri untuk menyediakan modul latihan yang berfokus kepada PKS bagi meningkatkan produktiviti.

“Di samping itu, kos overhed struktur juga perlu ditangani termasuk pematuhan, beban kawal selia, logistik dan utiliti,” katanya.

Walaupun diberi pengecualian kenaikan gaji minimum sementara, SAMENTA menggalakkan PMKS yang berkemampuan menawarkan kadar upah kompetitif kepada pekerja masing-masing.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim memaklumkan, Kabinet bersetuju agar PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat sementara waktu, dengan mengambil kira keupayaan sektor itu yang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.