
KUCHING, 7 Oktober – Usaha memperluas peluang pembangunan diri dan kerjaya menjadi antara tumpuan golongan belia di Sarawak menjelang pembentangan Belanjawan 2027, Jumaat ini.
- Perluas akses pendidikan dan latihan kemahiran, khususnya untuk belia luar bandar dan pedalaman bagi meningkatkan kebolehpasaran.
- Perkukuh pengiktirafan sijil TVET supaya graduan lebih mudah mendapat pekerjaan dan pengiktirafan industri.
- Luaskan bantuan pendidikan seperti biasiswa serta latihan lanjutan dan pensijilan selari kehendak industri.
Bagi mereka, akses pendidikan dan latihan kemahiran yang lebih menyeluruh penting bagi meningkatkan kebolehpasaran, terutama dalam kalangan anak muda di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Salah seorang belia, Mohd Nur Irfan Izzuddin Juhairi berpandangan, peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran perlu diperluas supaya lebih ramai anak muda mendapat manfaat.
“Saya berharap lebih banyak peluang diberikan kepada anak muda, khususnya dalam bidang pendidikan, pekerjaan, kemahiran, keusahawanan dan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Erang Budi Rose berharap pengiktirafan sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkukuh bagi memudahkan graduan mendapatkan pekerjaan.
“Saya berharap sijil yang kami peroleh selepas menamatkan pengajian TVET lebih mudah diiktiraf supaya kami senang mendapat pekerjaan,” katanya.
Bagi Fannedez Kiong Francis pula, bantuan pendidikan khususnya biasiswa wajar diperluas bagi membantu belia luar bandar melanjutkan pengajian.
“Saya berharap lebih banyak bantuan pendidikan seperti biasiswa disediakan untuk belia luar bandar menyambung pengajian dalam bidang TVET di institut, kolej dan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Golongan belia turut melihat keperluan latihan lanjutan dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri sebagai antara aspek penting dalam meningkatkan kebolehpasaran.
Langkah berkenaan diharap dapat membantu lebih ramai anak muda mengembangkan potensi diri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masa depan negara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), golongan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun merangkumi kira-kira 9.6 juta orang atau 28 peratus daripada keseluruhan 34 juta penduduk negara.