
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk sesi persekolahan 2027, sekali gus memanfaatkan kira-kira 5.3 juta murid dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
- Bantuan akan disalurkan di sekolah supaya ibu bapa boleh hadir dan bertemu guru bagi kemajuan akademik dan sahsiah anak.
- Kerajaan peruntuk RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan yang memanfaatkan lebih 800,000 murid.
- Elaun sara hidup RM2,500 diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam, dianggarkan manfaat kepada kira-kira 90,000 pelajar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu membolehkan keluarga yang mempunyai empat orang anak menerima RM800 bagi membantu persiapan persekolahan mereka.
“Bantuan ini akan disalurkan di sekolah supaya ibu bapa dapat hadir dan bertemu sendiri dengan guru sebagai tanggungjawab bersama bagi kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM870 juta bagi pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan lebih 800,000 murid.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan bersetuju memberikan elaun sara hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam, menyamai kadar elaun yang diterima pelajar matrikulasi.
Langkah itu dijangka memanfaatkan kira-kira 90,000 pelajar Tingkatan Enam.
Bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam meningkatkan kualiti persekitaran sekolah, Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah akan ditambah baik supaya sumbangan sukarela ibu bapa, alumni dan masyarakat dapat digunakan untuk operasi sekolah, pembaikan kemudahan, pembelian peralatan serta pelaksanaan program murid.
“Sumbangan tunai kepada tabung itu juga layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan akan memperluas pengambilan pembantu guru ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Jelasnya, pengambilan itu akan diperluas secara berfasa selepas penilaian keberkesanan dilaksanakan.
“Guru harus kembali kepada tugas mendidik anak-anak tanpa dibebani kerja perkeranian,” katanya.