Kerajaan sedia tanah strategik 50 ekar bernilai RM1 bilion untuk agenda Bumiputera

Foto RTM


KUALA LUMPUR, 9 Oktober
-Kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra bagi memperkukuh pemilikan dan penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Endowmen itu mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa kedudukan ekonomi dan penyertaan bumiputera.
  • PNB dicadang membangunkan tanah dengan mengambil kira keperluan perumahan mampu milik serta kepentingan bumiputera.
  • Kerajaan setuju bangunkan hampir 11 ekar di Belfield untuk sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI, 70% dikhususkan untuk bumiputera.
  • Kerajaan mewartakan tanah sebagai rizab Melayu, dan Petronas mula pembangunan peringkat pertama untuk perumahan mampu milik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata endowmen itu mencerminkan komitmen dan tanggungjawab kerajaan untuk memperkasa kedudukan ekonomi bumiputera.

Beliau berkata endowmen pertama kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra disediakan pada 1978 berjumlah RM200 juta, namun tiada endowmen susulan diberikan sejak 1981.

Beliau juga Menteri Kewangan berkata tanah berkenaan dicadangkan untuk dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), dengan mengambil kira keperluan perumahan mampu milik serta kepentingan bumiputera.

“Kerajaan turut bersetuju supaya tanah milik kerajaan seluas hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur dibangunkan bagi membina sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI, dengan 70 peratus daripadanya dikhususkan untuk bumiputera,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan telah mewartakan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu, satu langkah yang disifatkannya belum pernah dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu.

“Petronas kini telah memulakan pembangunan di kawasan seluas 10 ekar yang pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik,” katanya. BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.