
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan meningkatkan peruntukan keseluruhan bagi bantuan orang kurang upaya (OKU) kepada RM1.5 bilion untuk memanfaatkan lebih 300,000 penerima, sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan sokongan kepada golongan berkenaan.
- Kenaikan elaun penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
- Ambang pendapatan bagi layak menerima Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.
- Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas naik daripada RM150 kepada RM200 sebulan, memberi manfaat kepada murid termasuk kanak-kanak autistik.
- Dua Pusat PERMATA Kurnia baharu, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa, naik taraf PDK dan latihan 3,000 penjaga OKU.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik turut dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
“Selain itu, ambang pendapatan bagi melayakkan seseorang menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya ditingkatkan daripada RM1,700 kepada RM2,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Bagi menyokong pendidikan murid berkeperluan khas, Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada 150,000 murid, termasuk kanak-kanak autistik.
Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas juga ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan bagi memanfaatkan 20,000 guru pendidikan khas.
“Dalam usaha memperluas sokongan kepada kanak-kanak autistik, dua Pusat PERMATA Kurnia baharu akan dibina di Melaka dan Pahang bagi menyediakan pendidikan, sokongan serta latihan khusus.
“Kerajaan turut membuka lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan desa seluruh negara bagi membolehkan anak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat bimbingan awal yang lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan dinaik taraf menjadi Pusat Terapi Khusus bagi memanfaatkan 20,000 OKU Sindrom Down berdaftar.
Kerajaan juga akan melatih 3,000 penjaga OKU baharu dengan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan golongan berkenaan di seluruh negara.