Mike Johnson undur diri sebagai pemimpin republikan

Foto AFP

WASHINGTON, 5 November –Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Mike Johnson, akan melepaskan jawatan sebagai pemimpin Republikan susulan kekalahan besar parti itu dalam pilihan raya pertengahan penggal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat sehari selepas Demokrat menguasai kedua-dua dewan Kongres.
  • Johnson memimpin Dewan Perwakilan sejak Oktober 2023 sebagai calon kompromi.
  • Beliau memilih untuk tidak merebut jawatan pemimpin minoriti, membuka laluan persaingan antara Steve Scalise dan Jim Jordan.
  • Keputusan itu tidak bermakna beliau akan meletakkan jawatan sebagai Speaker atau meninggalkan Kongres serta-merta.

Jurucakap Johnson mengesahkan perkara itu kepada Agensi Berita AFP pada Rabu.

Keputusan itu dibuat sehari selepas Parti Demokrat berjaya menguasai kedua-dua dewan Kongres dalam keputusan pilihan raya yang menyaksikan penolakan besar-besaran terhadap parti Presiden Donald Trump.

Johnson, 54 tahun, memimpin Dewan Perwakilan sejak Oktober 2023 selepas dipilih sebagai calon kompromi susulan perselisihan dalaman Republikan yang berlarutan selama beberapa minggu.

Beliau sebelum ini giat berkempen untuk mengekalkan majoriti tipis Republikan di Dewan Perwakilan, malah pernah membayangkan kemungkinan terus menerajui parti itu sekiranya Demokrat berjaya mengambil alih kawalan dewan berkenaan.

Keputusan Johnson untuk tidak merebut jawatan pemimpin minoriti membuka laluan kepada persaingan antara Ketua Majoriti Dewan Perwakilan, Steve Scalise, dengan Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman, Jim Jordan.

Bagaimanapun, Johnson berjaya mempertahankan kerusi Dewan Perwakilan yang disandangnya di Louisiana.

Keputusan itu juga tidak bermakna beliau akan meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Perwakilan atau meninggalkan Kongres serta-merta. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.