
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) berharap permohonan peruntukan awal RM1.3 juta bagi memperluas penggunaan aplikasi pencegahan penipuan dalam talian, Scamora, diluluskan menerusi Belanjawan 2027, Jumaat ini.
- Scamora kini dalam fasa percubaan dan penggunaan dalaman, disasarkan kepada sejuta pengguna.
- Aplikasi menyediakan maklumat penipuan terkini, panduan tindakan, dan menghimpunkan maklumat agensi dalam satu sistem.
- Kira-kira 100 kes dilaporkan setiap hari; mangsa dinasihat segera hubungi 997 untuk tindakan pemulihan.
Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, aplikasi yang disasarkan kepada sejuta pengguna itu kini dalam fasa percubaan dan penggunaan dalaman.
Menurutnya, NFCC menyasarkan Scamora dapat mula digunakan orang ramai selewat-lewatnya pada 1 Januari 2027, tertakluk kepada kelulusan peruntukan berkenaan.
“Pada peringkat awal, kita anggarkan RM1.3 juta diperlukan.
Kalau ada keperluan untuk menambah peruntukan nanti, kita akan kemukakan cadangan semula kepada kerajaan.
“Ini bagi memastikan lebih ramai masyarakat dapat berkongsi maklumat menerusi aplikasi Scamora yang dibangunkan,” katanya kepada RTM.
Jelasnya lagi, Scamora menyediakan maklumat mengenai jenis penipuan terkini serta panduan tindakan bagi membantu masyarakat mengenal pasti dan mengelak kegiatan penipuan dalam talian.
“Aplikasi itu juga dirancang menghimpunkan maklumat berkaitan penipuan daripada aplikasi yang dibangunkan beberapa agensi dalam satu sistem bagi memudahkan akses pengguna,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kira-kira 100 kes penipuan dilaporkan setiap hari dengan jumlah kerugian dianggarkan RM9 juta.
Sementara itu, peluang mangsa mendapatkan semula wang yang ditipu dilaporkan mencecah 55 peratus.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian diingatkan supaya segera menghubungi talian 997 bagi membolehkan tindakan diambil secepat mungkin.