Maresca yakin Manchester City menang rayuan kes kewangan

Foto AFP


MANCHESTER, 9 Oktober – Pengurus Manchester City, Enzo Maresca yakin kelab itu akan memenangi rayuan selepas didapati bersalah atas lebih 100 pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Suruhanjaya mendapati City gunakan kontrak palsu untuk tingkatkan hasil, kurangkan kos melebihi £900 juta antara 2009 hingga 2018.
  • Kelab menafikan salah laku dan sedang merayu; jika gagal, berdepan pemotongan mata, penyingkiran atau penurunan liga.
  • Maresca pertahankan kejayaan City di bawah Guardiola, puji sumbangan pemain dan pengurusan; City kini puncak liga selepas lima kemenangan.

Dalam sidang media pertamanya sejak keputusan itu diumumkan minggu lalu, Maresca turut menolak dakwaan bahawa kejayaan kelab meraih pelbagai trofi sepanjang 15 tahun lalu tercemar.

“Saya percaya sepenuhnya kepada kelab ini dan itulah sebab saya menyertainya. Tiada kelab lain di dunia yang saya mahu sertai,” katanya.

Suruhanjaya bebas mendapati City menggunakan kontrak yang disifatkan sebagai palsu dengan beberapa rakan niaga bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos melebihi £900 juta (AS$1.2 bilion) antara 2009 hingga 2018.

Bagaimanapun, City terus menafikan sebarang salah laku dan sedang merayu keputusan itu. Kelab berkenaan berdepan kemungkinan pemotongan mata besar, penyingkiran atau penurunan liga jika rayuan gagal.

Maresca turut mempertahankan kejayaan kelab di bawah bekas pengurus Pep Guardiola, yang meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim lalu selepas sedekad berkhidmat.

Beliau berkata sumbangan pemain, pengurusan dan Guardiola menjadi faktor penting kejayaan City meraih pelbagai trofi.

Manchester City dijadual menentang Liverpool pada Ahad, manakala Guardiola dijangka hadir menyaksikan perlawanan menentang Paris Saint Germain pada Rabu.

Maresca memulakan tugasnya dengan cemerlang apabila memenangi kesemua lima perlawanan EPL setakat ini, sekali gus meletakkan City di puncak liga. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.