
PARIS, 16 Oktober – Kejohanan Golf Antarabangsa Arab Saudi yang merupakan acara penutup tirai bagi musim Jelajah Asia (Asian Tour), ditangguhkan berikutan siri serangan maut oleh kumpulan Houthi dari Yaman ke atas negara berkenaan.
- Kejohanan yang dijadual 18 hingga 21 November ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan.
- Saudi Golf dan Asian Tour sahkan penundaan atas cabaran logistik; pengurusan akan menghubungi pemain dan ahli.
- Penangguhan menambah deretan acara sukan antarabangsa di Arab Saudi yang terjejas, termasuk tenis Six Kings Slam dan perlawanan Liga Pro.
Kejohanan tersebut yang sepatutnya dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 21 November depan di Riyadh ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Pihak Saudi Golf dan Asian Tour dalam satu kenyataan bersama memaklumkan penangguhan tersebut dibuat atas faktor cabaran logistik sambil mengesahkan pihak pengurusan Jelajah Asia akan menghubungi para pemain dan ahli berhubung tindakan susulan.
Kejohanan berprestij yang ditaja oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi itu sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada Jelajah Eropah dari tahun 2019 hingga 2021.
Antaranya melibatkan bekas juara terkemuka dunia seperti Dustin Johnson, Graeme McDowell dan Joaquin Niemann.
Penangguhan kejohanan golf ini menambah deretan penganjuran sukan antarabangsa yang terjejas di Arab Saudi.
Sebelum ini, pameran tenis Six Kings Slam telah dianjakkan ke Disember, manakala tiga perlawanan Liga Pro Saudi termasuk aksi kelab Al-Nassr yang dianggotai Cristiano Ronaldo turut ditangguhkan.
Pergolakan antara pakatan diketuai Arab Saudi dan kumpulan Houthi semakin memuncak sejak beberapa hari lalu menerusi serangan peluru berpandu ke atas lapangan terbang serta fasiliti tenaga di seluruh negara.- AFP